Belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) boleh mula mendaftar untuk menerima kredit RM200 program eBeliaRahmah mulai 8.00 pagi pada Isnin, 26 Jun 2023.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM400 juta bagi program eBeliaRahmah di bawah Belanjawan 2023 yang akan memanfaatkan seramai 2 juta belia yang layak. Selain bertujuan untuk terus mempupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, ini juga sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka. Tambahan lagi, ini juga merupakan peningkatan tawaran kredit e-tunai berbanding RM150 tahun lalu,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Belia warganegara Malaysia yang layak boleh mula mendaftar untuk menerima RM200 dalam bentuk kredit e-tunai secara ‘one-off’ dengan salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet terkemuka iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.
Program ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang:
Selain bantuan RM200 dalam bentuk kredit e-tunai daripada Kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut akan memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback) atau diskaun mata ganjaran (rewards points) sepanjang tempoh program ini.
Tempoh pendaftaran dan tuntutan eBeliaRahmah adalah mulai 26 Jun 2023 sehingga 22 Ogos 2023, manakala kredit eBeliaRahmah serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan secara ‘offline’ sehingga 31 Ogos 2023.
Kredit RM200 ini juga boleh dimanfaatkan di peruncit/peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terlibat dalam program ini, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.
Pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet (Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet). Untuk maklumat lanjut mengenai eBeliaRahmah, layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/ebeliarahmah.html.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
21 Jun 2023