Pada 31 Mei 2021, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan bahawa gaji barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak diambil selama 3 bulan mulai Jun 2021 akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.
Pada 1 Jun 2021, Ketua Setiausaha Negara juga telah mengumumkan bahawa potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) ataupun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam selama 3 bulan mulai Jun 2021 juga akan disumbangkan ke dalam akaun yang sama.
Kementerian Kewangan ingin berkongsi bahawa pihak awam dan sektor swasta juga boleh menyumbang ke dalam Akaun Amanah Bencana yang ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana, bantuan untuk mengurangkan risiko bencana serta pengurusan mangsa bencana termasuk bencana penularan COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.
Sumbangan boleh dibuat ke dalam akaun berikut:
Nama Akaun : Akaun Amanah Bencana
Bank : Maybank Islamic Berhad
No. Akaun : 5660 1065 0930
Selaras dengan Akta Cukai Pendapatan 1967, semua sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana oleh individu mahupun syarikat korporat layak mendapat potongan cukai, dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi Kerajaan (Kew. 38), ataupun dokumen pengesahan/resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran-saluran sistem perbankan rasmi.
Akaun Amanah Bencana ini ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakilwakil dari Kementerian Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala, yang ditetapkan bagi akaun-akaun amanah Kerajaan.
Sebagai tanda manifestasi solidariti bagi membantu Kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan juga digalakkan untuk mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan secara sukarela untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana ini.
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
5 Jun 2021