Sidang Khas MKN dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin pada minggu ini telah mempertimbangkan dan memutuskan untuk menggunakan indikator baharu iaitu ‘bilangan kes kemasukan hospital baharu yang bergejala’ sebagai salah satu daripada indikator peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Keputusan ini dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan, serta pengalaman antarabangsa dan domestik, dengan penelitian bahawa risiko penularan COVID-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.
MPN juga memutuskan bahawa indikator tersebut hanya akan menggantikan indikator sedia ada (iaitu bilangan kes COVID-19 harian baharu) apabila vaksinasi sesebuah negeri di dalam Fasa 1 telah mencapai kadar sekurang- kurangnya 50% penduduk dewasa. Penanda aras bagi kes bergejala yang digunakan adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital bagi jumlah kes pesakit di dalam Kategori 3, 4 dan 5. Nilai ambang bagi bilangan kes bergejala adalah seperti berikut:
| Peralihan Fasa | Kes bergejala sehari (nilai ambang seluruh negara) | Kes bergejala sehari/ 100,000 penduduk |
|---|---|---|
| Fasa 1 ke Fasa 2 | 2,000 | 6.1 |
| Fasa 2 ke Fasa 3 | 1,000 | 3.0 |
| Fasa 3 ke Fasa 4 | 400 | 1.3 |
Dalam penilaian untuk peralihan daripada satu fasa kepada fasa yang selanjutnya, ianya masih tertakluk kepada keperluan memenuhi kesemua indikator, termasuk penggunaan kapasiti ICU dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.
Sebagai contoh, bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka yang masih berada di Fasa 1, apabila mereka mencapai kadar vaksinasi sekurang- kurangnya 50% penduduk dewasa, indikator kes yang akan digunapakai ialah kes kemasukan hospital baharu yang bergejala. Seterusnya, negeri ini hanya boleh beralih ke Fasa 2 jika mencapai nilai ambang kes kemasukan hospital baharu yang bergejala (6.1 per 100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU (“Sederhana”).
Keputusan ini juga diambil selepas risiko penularan dilihat jelas terkawal di negeri Sarawak dan wilayah Labuan, dengan pengurangan ketara kes bergejala dan yang memerlukan rawatan di wad ICU. Walaupun Sarawak dan Labuan berdepan dengan penggunaan kapasiti wad ICU penuh semasa bulan Jun, namun setelah kadar vaksinasi mencecah 50% pada bulan Julai, penggunaan kapasiti wad ICU telah menurun bagi kedua-duanya dan mencapai tahap “Mencukupi”.
Justeru, penilaian risiko bagi mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial akan lebih tepat jika berasaskan kepada bilangan kes bergejala kategori 3, 4 dan 5, berbanding jika dirujuk kepada jumlah kes baharu harian. Contohnya, walaupun kes harian baharu di Sarawak mencecah 400 sehari tetapi bilangan pesakit baharu Kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 10 pesakit atau 2% daripada kes harian.
Negara-negara seperti United Kingdom juga telah mengambil pendekatan yang tertumpu kepada kadar kes bergejala dan telah terus membenarkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berdasarkan penilaian risikonya, iaitu jumlah kes bergejala adalah rendah walaupun jumlah kes baharu masih tinggi.
Sejak dari awal pengumuman PPN, Kerajaan telah menekankan bahawa PPN perlu bersifat dinamik, di mana semua pendekatan yang diambil adalah berdasarkan data dan sains. Ini termasuklah penetapan indikator dan nilai ambang untuk peralihan fasa. Penggunaan nilai indikator baharu ini akan dapat menambahbaik penilaian risiko dalam mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial dalam konteks peralihan fasa PPN.
YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara Kementerian Kewangan
Putrajaya
7 Ogos 2021