Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Prestasi KDNK Suku Ketiga 2021: Pertumbuhan Tahunan Ekonomi Malaysia Dijangka Kekal Positif

Prestasi KDNK Suku Ketiga 2021: Pertumbuhan Tahunan Ekonomi Malaysia Dijangka Kekal Positif

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 3.0% dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 berbanding penguncupan 6.4% dalam tempoh yang sama tahun lalu. Prestasi KDNK ini mengambil kira penguncupan sebanyak 4.5% tahun-ke-tahun (YoY) pada suku ketiga 2021 (S3 2021) yang menggambarkan cabaran yang dihadapi berikutan langkah pembendungan yang ketat untuk mengekang lonjakan kes baharu disebabkan oleh kemunculan varian COVID-19 yang membimbangkan (VOC) dan lebih berbahaya.

Dari segi prestasi KDNK bulanan, penguncupan yang semakin mengecil kepada 1.1% pada bulan September berbanding 7.6% pada bulan Julai dan 4.7% bagi Ogos 2021, mencerminkan peningkatan dalam aktiviti ekonomi dan sosial susulan momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang meningkat, seterusnya membolehkan lebih banyak negeri beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

“Meskipun berdepan cabaran sepanjang suku ketiga 2021, pelbagai indikator ekonomi utama menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh terutamanya apabila negara memasuki suku keempat 2021 (S4 2021) dan menuju ke tahun 2022. Ini termasuk penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.5% pada bulan September serta lonjakan 24.7% dalam eksport dan peningkatan 11.6% dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan yang sama. Tambahan pula, kita menyaksikan peningkatan pada kedua-dua indeks keyakinan perniagaan dan pengguna yang dipantau oleh MIER serta RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada S3 2021 menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM30 bilion,” menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dari segi pasaran kewangan Malaysia,

  1. Sistem perbankan kekal kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai merekod 154.4% pada September 2021. Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing mencatat 1.6% dan 1.0%.

  2. Rizab antarabangsa Malaysia kekal tinggi dengan jumlah sebanyak USD116.1 bilion pada akhir Oktober 2021, cukup untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan bersamaan 1.3 kali hutang luar negeri jangka pendek.

  3. Pinjaman terkumpul kepada perniagaan meningkat 2.4% pada S3 2021 (S2 2021: 1.3%), disokong oleh kegunaan modal kerja yang tinggi. Peningkatan ini juga didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel, serta sektor pembuatan berikutan penyambungan semula aktiviti ekonomi yang lebih meluas.

Dari sudut pasaran modal,

  1. FBMKLCI telah meningkat 2.2% pada S3 2021 dengan pelabur runcit menyumbang RM11.3 bilion dalam pelaburan bersih. Sementara itu, segmen unit amanah menerusi Nilai Aset Bersih meningkat sebanyak 3.5% kepada RM537.9 bilion pada akhir September 2021. Nilai berkenaan mencakupi hampir 30% daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia. Sejak Ogos, aliran masuk bersih sebanyak RM3.5 bilion daripada pelabur asing telah direkodkan.

  2. Pasaran bon Ringgit juga menyaksikan peningkatan keyakinan pelabur asing yang ketara terutamanya pegangan asing dalam bon Kerajaan Malaysia yang mencatatkan RM231 bilion atau bersamaan 25% daripada jumlah terkumpul bon Kerajaan jangka panjang. Pasaran sekunder kekal kukuh dan terbitan Kerajaan terus disokong dengan purata nisbah bidaan kepada terbitan (year-to-date) sebanyak 2.1 kali.

MELANGKAH KE HADAPAN

Ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90% sektor ekonomi, dan kebanyakan aktiviti sosial. Pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir 76% daripada keseluruhan populasi telah lengkap divaksin, atau 95% orang dewasa dan 78% remaja. Setakat ini, lebih 730,000 dos penggalak telah diberi kepada petugas barisan hadapan serta kumpulan mudah terjejas yang memberikan perlindungan tambahan kepada sistem penjagaan kesihatan sekiranya berlaku gelombang baharu kes COVID-19 dan VOC yang lebih berbahaya.

“Dengan momentum pemulihan dilihat dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021, KDNK Malaysia berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai pertumbuhan antara 3% dan 4% pada 2021 dan terus berkembang antara 5.5% dan 6.5% pada 2022, selari dengan unjuran oleh IMF pada 6.0% dan Bank Dunia pada 5.8%. Pertumbuhan akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama,” menurut Tengku Zafrul.

Kerajaan akan terus melindungi nyawa dan kehidupan rakyat daripada ancaman COVID-19 di samping memastikan prospek pertumbuhan ekonomi jangka sederhana hingga panjang negara kekal kukuh. Kerajaan komited untuk bertindak balas secara strategik, proaktif dan tegas serta mengurangkan kesan ekonomi jangka panjang akibat pandemik COVID-19.


YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
12 November 2021


 

INFOGRAFIK

 

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility