Merujuk kepada beberapa pandangan yang diterima dari komuniti perniagaan dan masyarakat berhubung dengan perkhidmatan pelanggan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menganjurkan program Hari Bertemu Pelanggan secara mingguan pada setiap hari Khamis di pejabat JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kompleks Kastam WPKL, No. 22, Jalan SS6/3, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan bermula 9 Januari 2020.
Program ini bertujuan memberi peluang dan kemudahan kepada masyarakat yang mempunyai masalah atau aduan berkenaan dengan percukaian berkaitan dengan JKDM, khususnya komuniti perniagaan untuk bertemu terus dengan pegawai-pegawai kanan MOF dan JKDM pada setiap hari Khamis mulai 9 Januari 2020, bagi menyelesaikan isu dan permasalahan yang timbul dengan segera.
Sesi-sesi ini juga bagi mengambil kira sebarang idea untuk penambahbaikan pengurusan percukaian bagi memastikan cukai dipungut secara efisien, selainmerakyatkan perkhidmatan awam agar JKDM lebih rapat dengan masyarakat untuk membantu permasalahan dan isu yang dihadapi.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi mendapatkan khidmat nasihat dari pegawai-pegawai kanan MOF dan JKDM yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
Sayangi Malaysiaku! 🇲🇾
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
11 Disember 2019