Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Program Jelajah Belanjawan 2024 Peringkat Negeri Diteruskan Di Pulau Pinang

Program Jelajah Belanjawan 2024 Peringkat Negeri Diteruskan Di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) meneruskan Program Jelajah Belanjawan 2024 peringkat Negeri di Pulau Pinang pada hari ini. Sesi ini merupakan sesi pertama Jelajah Belanjawan 2024 yang diketuai oleh Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Steven Sim Chee Keong.

Dalam ucapan beliau, YB Tuan Steven Sim Chee Keong berkata Belanjawan 2024 akan mendukung Malaysia menggapai wawasan Ekonomi MADANI, yakni mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi dan meningkat kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.

“Misi kita memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi, kemampanan fiskal, daya saing dan penyerantauan, tatakelola yang baik, pertumbuhan inklusif, pekerjaan dengan gaji bermakna, serta kesaksamaan peluang,” tambah beliau lagi.

MOF akan meneruskan siri jelajah ini ke semua negeri di Malaysia. Pulau Pinang merupakan negeri ketiga bagi program ini yang dijangka berakhir pada 22 September 2023.

Selain Program Jelajah Peringkat Negeri, MOF juga menganjurkan beberapa siri perbincangan bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan seperti penjawat awam, swasta, teknokrat, NGO, persatuan, ahli akademik serta rakyat sendiri bagi memastikan penyediaan Belanjawan yang menyeluruh dan memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat dan entiti di Malaysia.

Mereka yang ingin memberikan cadangan bagi Belanjawan 2024, boleh berbuat demikian sebelum 14 September 2023 melalui portal rasmi cadangan Belanjawan 2024 di https://belanjawan.mof.gov.my/ms/cadangan2024/.


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
1 September 2023

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility