Kementerian Kewangan hari ini telah melaksanakan Program Kepimpinan dan Tadbir Urus Baik Lembaga Pengarah Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) bagi memperkukuh kapasiti pegawai-pegawai Kerajaan yang menduduki Lembaga Pengarah syarikat-syarikat MKD dan BBP.
Seramai 150 orang Ahli Lembaga Pengarah (ALP) menyertai program anjuran bersama Deloitte Malaysia bagi memberi penekanan kepada fiduciary duties yang perlu dimainkan oleh ALP syarikat-syarikat MKD dan BBP agar setiap tindakan yang diambil mengutamakan kepentingan syarikat dan BBP dan dalam masa sama memastikan kepentingan Kerajaan sentiasa terpelihara.
Program ini merupakan susulan pelancaran Prinsip Tadbir Urus Baik (Principles on Good Governance - PGG) bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Buku Garis Panduan Ahli Lembaga Pengarah Wakil Kementerian Kewangan dan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998 mengenai Garis Panduan Peranan dan Tanggungjawab Kementerian, Lembaga Pengarah dan Ketua Eksekutif dalam Pengurusan Badan Berkanun Persekutuan sebagai garis panduan amalan terbaik untuk ALP bagi MKD dan BBP.
Timbalan Menteri Kewangan 1, YB Datuk Seri Ahmad Maslan ketika merasmikan program tersebut berkata, aspek penting yang perlu sentiasa diamalkan adalah pematuhan kepada undang-undang dan peraturan semasa yang berkuatkuasa.
“Kami yakin dan percaya melalui penerapan prinsip tadbir urus baik, akan membantu Lembaga Pengarah syarikat MKD dan BBP menjalankan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan ke arah memandu organisasi melaksanakan mandatnya dan mencapai sasaran ditetapkan supaya pelaburan Kerajaan mendapat pulangan sewajarnya”, tambah YB Datuk Seri Ahmad Maslan lagi.
Penganjuran program in juga selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan prinsip tadbir urus atau tata kelola baik yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Kementerian Kewangan
20 Julai 2023