Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS)

Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS)

Pihak Kementerian Kewangan Malaysia telah menerima banyak pertanyaan daripada individu yang telah menerima surat dan e-mel daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berkaitan dengan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS). PKPS merupakan proses pemutihan cukai oleh LHDNM untuk membantu mereka yang membuka akaun bank di luar negara dengan wang pendapatan daripada Malaysia yang belum dilapor atau dikenakan cukai.

Lanjutan daripada penerangan yang telah diberikan oleh pihak LHDNM, khususnya berkaitan dengan saranan supaya penerima surat atau e-mel hadir ke pejabat LHDNM, mereka yang menerima surat atau e-mel berkenaan daripada LHDNM tidak perlu resah sekiranya tidak mempunyai akaun bank di luar negara. Pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara boleh membuat pelaporan secara sukarela sekiranya terdapat pendapatan yang disimpan di dalam akaun bank luar negera yang sumbernya diperolehi daripada pendapatan yang diterima daripada Malaysia tetapi belum dilapor atau dikenakan cukai. Sekiranya pendapatan ini telahpun dilapor kepada LHDNM atau dikenakan cukai dan kemudiannya disalurkan ke luar negara, maka segalanya adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

Prosedur pembukaan akaun bank di luar negara adalah seragam di peringkat antarabangsa, di mana butiran lanjut tentang pendaftaran dan maklumat percukaian perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa negara tersebut. Di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ditandatangani oleh lebih 100 negara, LHDNM telah mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai bulan September 2018.

Dalam erti kata lain, PKPS menawarkan satu penyelesaian cukai bagi mereka yang ada akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDNM. Pembayar cukai dalam kategori inilah yang diminta dalam e-mel atau surat LHDNM untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDNM. Pihak Kerajaan bersetuju untuk memberi kelonggaran pengurangan bayaran penalti daripada 300% kepada 10% sekiranya dilaporkan sebelum 31 Mac 2019 atau 15% jika dilaporkan antara 01 April 2019 sehingga 30 Jun 2019.

Saya juga telah meminta LHDNM mengambil tindakan tegas terhadap aduan yang diterima berhubung segelintir pegawai LHDNM yang cuba mengambil kesempatan di atas pelaksanaan PKPS ini, dengan menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan. Saya ingin menegaskan tidak ada perubahan dalam sistem dan kuantum penalti cukai yang berkuatkuasa untuk pembayar cukai dalam Malaysia (masih menggunakan struktur penalti yang sama). Tindakan perubahan yang dibuat adalah menghentikan serbuan ke rumah pembayar cukai pada tengah malam oleh pegawai bersenjata dan bertopeng muka sebelum ini (operasi National Revenue Recovery Enforcement Team atau NRRET).

Satu e-mel atau surat baharu akan dihantar semula oleh LHDNM untuk menggantikan surat edaran PKPS sebelum ini agar tidak timbul sebarang salah faham lagi. Namun demikian, sekiranya masih terdapat pertanyaan lanjut mengenai PKPS, sila:

  • Kunjungi Pejabat LHDNM yang berhampiran;
  • Hubungi Hasil Care Line LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara);
  • e-mel pertanyaan kepada: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.; atau
  • hubungi pegawai-pegawai khas kepada Menteri Kewangan yang berikut:
    • Dato Ooi Kok Seng (012-4868838),
    • En. Muhammad Sadiq bin Noor Azlan (011-12170764), atau
    • En. Chew Khai Yen (019-7705695).

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

10 Februari 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility