Program Pengurusan Dan Ketahanan Kewangan (URUS) Dibuka Kepada Peminjam B50 Pada 15 November 2021

Program Pengurusan Dan Ketahanan Kewangan (URUS) Dibuka Kepada Peminjam B50 Pada 15 November 2021

Merujuk kepada pengumuman oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober 2021, Kementeriaan Kewangan mengalu-alukan “Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS)” oleh sektor perbankan. URUS adalah program bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan dirangka oleh sektor perbankan bersama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

URUS ditawarkan kepada peminjam B50 yang terjejas, iaitu peminjam dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM5,880 atau lebih rendah. Manfaat URUS merangkumi pengecualian faedah untuk tiga (3) bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan dan pengurangan kadar faedah. Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

Secara keseluruhan, bank-bank dianggarkan memperuntukkan sebanyak RM1.0 bilion bagi membiayai kos program ini. URUS akan dikelolakan oleh AKPK yang juga akan memberi bantuan pelan kewangan peribadi serta akses kepada pakej pendidikan pengurusan kewangan kepada peminjam. Permohonon untuk program ini akan dibuka dari 15 November 2021 sehingga 31 Januari 2022

URUS akan membantu peminjam secara komprehensif, memastikan mereka yang memerlukan mendapat sokongan Kerajaan konsisten dengan semangat Keluarga Malaysia. URUS akan melengkapkan inisiatif-inisiatif lain oleh Kerajaan dalam membantu golongan yang paling terjejas sejajar dengan pembukaan ekonomi, pemulihan negara dan langkahlangkah yang mengurangkan kesan jangka panjang yang berkekalan kepada ekonomi kita.

Peminjam yang tidak layak mendapatkan bantuan di bawah program URUS tetapi masih memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman boleh terus menghubungi bank masing-masing untuk berbincang tentang pilihan bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka.

Kerajaan juga sedang mengkaji kaedah-kaedah lain untuk membantu golongan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan diumumkan dalam Bajet 2022. Untuk membantu aliran tunai segmen PKS yang terjejas, BNM telah menperuntukkan lebih dari RM7.0 bilion melalui fasiliti pembiayaan, yang disalurkan melalui bank-bank komersial sebagai pinjaman untuk modal kerja, perbelanjaan modal (capital expenditure) dan membiayai semula pinjaman.

Bagi memudahkan lagi pinjaman dari bank-bank, Kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan telah memperuntukkan jaminan tambahan sebanyak RM20 bilion di bawah pakej bantuan PEMULIH untuk menjamin 80% pinjaman yang diambil oleh pihak PKS. Di bawah pakej bantuan PEMULIH dan PEMERKASA, terdapat juga inisiatif seperti geran dan pinjaman dengan kadar faedah rendah untuk perusahaan mikro yang terjejas akibat COVID-19.


YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Kementerian Kewangan
14 Oktober 2021