Seperti yang dimaklumkan semasa Sesi Penggulungan Kementerian Kewangan Peringkat Jawatankuasa bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2022 pada 24 November 2021, proses permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun 2022 akan dipermudahkan untuk kesejahteraan semua.
Kerajaan kekal komited untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya golongan rentan dengan menyediakan bantuan tunai sebanyak RM8.2 bilion di bawah BKM pada tahun 2022 yang akan memanfaatkan 9.6 juta penerima. Bagi memastikan tiada yang tercicir, penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas COVID (BKC) B40, akan dipertimbangkan untuk BKM secara automatik mengikut syarat kelayakan tanpa perlu membuat permohonan.
Di samping itu, data penerima BPR dan BKC B40 bersama-sama dengan data daripada agensi Kerajaan yang lain merangkumi data e-Kasih, bantuan JKM, penghuni Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah DBKL dan KPKT, Orang Asli JAKOA, gelandangan berdaftar dengan KPWKM dan DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan PERKESO dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang juga akan dimasukkan ke dalam data permohonan BKM bagi mengurangkan exclusion error.
Bagi permohonan baharu dan kemas kini BKM pula, tempoh pendaftaran akan dibuka mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Januari 2022 bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data Kerajaan diberikan peluang untuk memohon. Untuk makluman juga, pembayaran BKM akan dilaksanakan 4 kali setahun dan tarikh pembayaran BKM yang pertama dijangka pada bulan Mac 2022. Maklumat lanjut berkaitan BKM boleh dirujuk pada Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal LHDNM.
Kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang disediakan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.
YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
24 November 2021