Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dibuka Mulai 2 Mei 2022

Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dibuka Mulai 2 Mei 2022

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) adalah sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40. Kerajaan telah mengemaskini data golongan B40 yang layak menerima BKM dan setakat ini, hampir RM2.0 billion bantuan Fasa 1 BKM telah disalurkan kepada hampir 9.0 juta penerima B40 seluruh negara pada bulan Mac yang lalu. Bayaran Fasa 2 sebanyak RM1.1 bilion pula akan dibuat pada bulan Jun 2022.

Walau bagaimanapun, Kerajaan sedar bahawa mungkin masih ada rakyat yang layak menerima BKM tetapi masih belum didaftarkan di dalam pangkalan data Kerajaan. Oleh itu, sukacita diingatkan bahawa tempoh rayuan bagi permohonan BKM akan dibuka mulai 2 Mei 2022 selama sebulan bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini. Pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Permohonan rayuan boleh dibuat melalui kaedah berikut:

Kaedah Permohonan Rayuan BKM
Mulai 2 Mei 2022 Secara dalam talian Melalui Portal Rasmi BKM LHDNM, https://bkm.hasil.gov.my
Mulai 9 Mei 2022 Penghantaran Borang Rayuan BKM 2022 Secara Manual Cawangan / Pejabat Satelit (PS) / Pusat Khidmat Hasil (PKH) / Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran

Setelah pangkalan data BKM dikemaskini, pembayaran rayuan BKM kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada bayaran Fasa 3 dan Fasa 4 yang dijadualkan pada bulan September 2022 dan Disember 2022. Pemohon rayuan BKM boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BKM (https://bkm.hasil.gov.my) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Kerajaan kekal komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan ini sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya.


YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia
Putrajaya
30 April 2022

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility