S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+ dan menetapkan tinjauan “Stabil”. Pengesahan oleh kedua-dua agensi ini mencerminkan keyakinan berterusan oleh pemegang taruh antarabangsa dalam prestasi pertumbuhan negara yang kukuh dan berdaya tahan, meskipun permintaan luaran yang mencabar ditambah dengan peningkatan konflik geopolitik global.
Menurut S&P, “Penarafan kami ke atas Malaysia disokong oleh kedudukan luaran yang kukuh dan dasar monetari yang anjal. Tambahan pula, aliran pertumbuhan ekonomi negara ini menunjukkan peningkatan pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan negara berpendapatan setara”.
S&P menggariskan Malaysia bakal menjadi penerima manfaat utama daripada ledakan industri semikonduktor global yang dipacu pengkomputeran kecerdasan buatan (AI). S&P juga berpandangan kelestarian pertumbuhan ekonomi dan pelaksanaan reformasi subsidi pukal menjadi faktor penting dalam pengukuhan kewangan awam negara. Malah, kestabilan politik mutakhir ini memudahkan penggubalan dasar yang menjurus kepada pelaksanaan pembaharuan ekonomi dan konsolidasi fiskal.
Fitch pula mengunjur pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia akan melonjak sebanyak 4.4% pada tahun 2024 dan 4.5% bagi tahun 2025, lebih tinggi daripada 3.6% pada tahun 2023. Tren ini didokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pelaburan dalam sektor pembuatan. Tambahnya, ia menjangka perbelanjaan domestik akan mendapat limpah daripada pasaran buruh yang meningkat, program bantuan tunai dan pengeluaran wang persaraan. Selain daripada itu, Fitch menjangka pengeluaran pembuatan dan eksport akan mengembang dengan pemulihan permintaan luaran untuk barang-barang elektronik.
Fitch juga mengunjur lebihan akaun semasa Malaysia akan meningkat kepada 2.1% dan 2.4% berbanding KDNK masing-masing pada tahun 2024 dan 2025. Malaysia dilihat mempunyai kelebihan untuk mendapat manfaat daripada diversifikasi rantaian bekalan global serta peningkatan pelaburan asing yang direalisasikan pada 2024.
Melangkah ke hadapan
“Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia dan tinjauan ekonomi positif oleh S&P dan Fitch menjadi bukti kepada pengurusan ekonomi berhemat Kerajaan dan agenda reformasi Ekonomi MADANI sudah membuahkan hasil yang baik,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Usaha ini merangkumi reformasi menyeluruh institusi untuk meningkatkan mudahcara perniagaan dan daya saing, serta penerusan pelaksanaan projek- projek dan pembaharuan dasar di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
“Dengan pasaran buruh yang memberangsangkan serta pertumbuhan menggalakkan dari segi perdagangan dan pelaburan memacu pertumbuhan KDNK suku pertama 2024 sehingga melepasi jangkaan, Kerajaan yakin dengan kemampuan negara untuk mencapai pertumbuhan dalam julat sasaran rasmi sebanyak 4% hingga 5% pada tahun 2024,” tambah YAB Dato’ Seri Anwar.
Melangkah ke hadapan, Kerajaan kekal komited dalam memastikan kemampanan kewangan awam dengan mematuhi trajektori konsolidasi fiskal yang konsisten. Defisit fiskal yang telah menirus kepada 5% pada 2023 dijangka akan menyusut lagi kepada 4.3% pada tahun 2024. Dalam jangka sederhana, Kerajaan menetapkan defisit fiskal untuk berada pada paras 3% seperti termaktub di dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024. Ini selari dengan sasaran fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI untuk merealisasi kemampanan fiskal dan tatakelola yang baik.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
28 Jun 2024