Merujuk kepada Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN Rakyat bernilai RM260 bilion yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri. Terdahulu, Kementerian Kewangan telah pun mengumumkan bahawa tempoh permohonan baharu dan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dibuka dari 1 hingga 30 April 2020 bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah pun selesai membuat semakan ke atas permohonan baharu dan rayuan ini.
Sukacita saya memaklumkan bahawa 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan BPN telah diluluskan, melibatkan jumlah sebanyak RM1.7 bilion. Status permohonan baharu dan rayuan BPN boleh disemak mulai 9 Mei 2020 melalui pautan bpn.hasil.gov.my. Bagi mereka yang layak, pembayaran BPN akan dibuat secara sekaligus mulai 15 Mei 2020.
Dengan kelulusan permohonan baharu dan rayuan tersebut, jumlah penerima BPN ialah 10.6 juta, merangkumi jumlah bayaran bernilai RM11 bilion (iaitu tambahan RM1 bilion berbanding peruntukan asal RM10 bilion). Kerajaan berharap BPN ini akan memanfaatkan penerima dan meringankan beban mereka dalam tempoh yang amat mencabar ini.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Putrajaya
9 Mei 2020