Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

SemarakNiaga: Manfaat RM40 Bilion Bagi Sektor Peniagaan, Pemerkasaan PMKS

SemarakNiaga: Manfaat RM40 Bilion Bagi Sektor Peniagaan, Pemerkasaan PMKS

Inisiatif SemarakNiaga Keluarga Malaysia (“SemarakNiaga”) bernilai RM40 bilion yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merupakan sebahagian daripada strategi induk Bajet 2022 untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

SemarakNiaga bertujuan membina keupayaan dan daya saing sektor perniagaan melalui, antara lainnya, akses kepada pembiayaan dan pinjaman mudah; pembiayaan ekuiti serta jaminan pembiayaan.
Setiap jenis perniagaan, dari PMKS hingga ke syarikat tersenarai awam digalakkan untuk merebut pelbagai peluang dan manfaat yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan melalui SemarakNiaga; dan maklumat lanjut boleh didapati di portal Manfaat Bajet 2022 https://budget.mof.gov.my/manfaat/semarakniaga.html

Dengan nilai keseluruhan lebih RM40 bilion, SemarakNiaga menawarkan empat kemudahan utama seperti berikut:

  1. Peruntukan terbesar bagi PKS Mikro berbanding tahun-tahun lalu, iaitu sebanyak RM1.8 bilion bagi Pinjaman Kredit Mikro, dengan moratorium sehingga 12 bulan. Kemudahan ini boleh dipohon melalui TEKUN, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, Agrobank dan bank-bank komersial1.
  1. Kemudahan dan solusi inovatif yang diperkenalkan buat julung kalinya di dalam Bajet 2022 iaitu Pembiayaan Ekuiti/Alternatif bernilai RM2.2 bilion bertujuan membantu syarikat yang berdaya maju tetapi mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu kerana masalah keberhutangan atau gearing yang tinggi. PMKS boleh memohon dana melalui pelaburan ekuiti dan separa-ekuiti (quasi-equity) melalui Teraju, SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan bank-bank komersial tempatan2. Selain itu, RM80 juta juga diperuntukkan bagi kaedah equity crowd funding dan peer-to-peer financing secara geran padanan melalui Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF).
  1. Pinjaman Mudah PKS dengan dana keseluruhan bernilai RM14.2 bilion disediakan, merangkumi pelbagai skim yang boleh dipohon melalui bank-bank komersial tempatan3, Agrobank, BPMB, Permodalan Usahawan Nasional Berhad, SME Bank dan MIDF.
  1. Jaminan Pembiayaan bernilai RM22.0 bilion termasuk RM2.0 bilion khusus untuk syarikat Bumiputera. Kemudahan ini termasuk jaminan sehingga 80 peratus jumlah pembiayaan sedia ada yang dijadual dan distruktur semula untuk tempoh 36 bulan, bagi nilai pembiayaan sehingga RM20 juta. Bagi pembiayaan baharu pula, jaminan yang disediakan juga sehingga 80 peratus. Permohonan boleh dibuat kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad.

Selain itu, sektor perniagan juga boleh memanfaatkan pelbagai inisiatif lain di dalam Bajet 2022 bagi memudahkan urusan perniagaan terutamanya dalam peralihan kepada dunia pasca COVID-19. Ini termasuk lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis sehingga RM300,000 bagi menyokong pematuhan SOP seperti menambahbaik pengudaraan serta potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja.

Dari segi pemulihan sektor-sektor yang amat terkesan, Bajet 2022 juga menyediakan bantuan bernilai RM1.6 bilion untuk industri pelancongan, RM238 juta bagi industri kreatif dan RM307 juta untuk industri peruncitan.

Kesemua inisiatif-inisiatif ini bakal membangkitkan semula sektor perniagaan dan komuniti usahawan, yang secara langsung akan menyumbang kepada penciptaan 600,000 peluang pekerjaan. Ini akan mengurangkan kadar pengangguran dengan unjuran di paras kurang dari 4.0 peratus menjelang hujung tahun ini.

Inisiatif SemarakNiaga dan penciptaan pekerjaan merupakan dua tonggak utama Bajet 2022 ke arah pemulihan ekonomi, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di antara 5.5% hingga 6.5% pada 2022.

Kementerian Kewangan (MOF) sentiasa peka dan responsif bagi memastikan negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh. MOF juga kekal fokus kepada kebertanggungjawaban fiskal dan pelaksanaan reformasi struktur yang strategik bagi memastikan ekonomi kekal berdaya tahan dalam jangka sederhana dan panjang.RM50,000 ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja.

 


Kementerian Kewangan
21 Februari 2022



Dana disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Micro Enterprise Facility.
2 Dana disediakan oleh BNM melalui Business Recapitalisation Fund.
3 Dana disediakan oleh BNM melalui skim Targeted Relief & Recovery Facility, Low Carbon Transition Facility, Agrofood Facility, Micro Enterprises Facility, SME Automation & Digitalisation Facility, PENJANA Tourism Financing, All Economic Sectors Facility dan High-Tech Facility.

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility