Konsultasi Belanjawan 2021 diteruskan bersama wakil-wakil daripada parti-parti politik negara iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Islam Se Malaysia (PAS), Malaysian Chinese Association (MCA), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pakatan Harapan (PH), yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
Sesi konsultasi bersama parti politik adalah kesinambungan kepada usaha penyediaan Belanjawan 2021 yang inklusif dan komprehensif. Sejak bulan Julai, lebih 40 sesi konsultasi telah diadakan melibatkan lebih dua ribu individu dan wakil perniagaan. Ini termasuk sesi turun padang ke setiap negeri buat kali pertamanya dalam sejarah Kementerian untuk mendekati rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
Sehingga kini, lebih 6,600 cadangan telah diterima daripada sesi konsultasi tersebut dan juga melalui lawan sesawang Belanjawan 2021. Ini termasuk lebih 170 cadangan yang telah diterima susulan perjumpaan bersama ahli politik. Secara amnya, cadangan-cadangan tertumpu kepada sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan COVID-19 menjelang tahun 2021. Antara sektor dengan cadangan tertinggi termasuk kesihatan, sokongan pekerjaan, pendidikan dan industri PKS. Kementerian sedang memperhalusi kesemua cadangan untuk disertakan ke dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada hari Jumaat, 6 November ini.
Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan – rakyat, perniagaan, NGO, serta sektor awam dan swasta – yang terlibat dalam proses konsultasi ini. Belanjawan 2021 merupakan fasa kelima dalam strategi enam fasa atau Strategi 6R, iaitu rancangan pemulihan ekonomi Kerajaan yang telah digerakkan sejak bulan Mac. Fasa-fasa sebelum ini merangkumi pelan rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang berjumlah RM305 bilion. Belanjawan 2021 adalah kesinambungan pencapaian pakej-pakej tersebut dan mempunyai tiga matlamat utama: (i) kesejahteraan Rakyat, (ii) kelangsungan perniagaan dan (ii) ketahanan ekonomi.
Perjalanan Malaysia mememerangi penularan wabak COVID-19 dan seterusnya memacu ekonomi negara boleh dicapai apabila semua pihak berganding bahu demi kepentingan rakyat.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia
2 November 2020