Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

JBMKKS Memacu Strategi RESET Menerusi Program Rintis MEDIASAS, Ketelusan Harga dan Inisiatif Kesihatan Digital

JBMKKS Memacu Strategi RESET Menerusi Program Rintis MEDIASAS, Ketelusan Harga dan Inisiatif Kesihatan Digital

Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS), yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini mengumumkan perkembangan terkini mengenai inisiatif utama di bawah kerangka RESET. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan mempertingkatkan aspek mampu milik, kebolehcapaian, ketelusan, dan kemampanan sistem penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.

JBMKKS bersetuju menetapkan MediAsas sebagai jenama bagi Pelan Asas MHIT. Inisiatif utama ini direka khusus bagi menyediakan akses kepada perlindungan perubatan yang lebih mampu milik dan mampan untuk jangka masa panjang bagi rakyat Malaysia. Program rintis MediAsas yang bakal bermula pada akhir Julai ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam menyediakan asas bagi pelaksanaan di peringkat nasional pada Januari 2027. MediAsas dijangka memainkan peranan penting dalam mencorakkan semula landskap pembiayaan penjagaan kesihatan swasta serta menyokong transformasi kesihatan jangka panjang secara menyeluruh.

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II berkata, “MediAsas bakal menyediakan asas yang kukuh bagi menyokong reformasi pembiayaan kesihatan jangka panjang, mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menawarkan perlindungan perubatan yang mampu milik di samping memastikan kemampanan ekosistem pembiayaan kesihatan Malaysia. Melalui kriteria kelayakan yang lebih luas serta ciri-ciri produk yang tersendiri, MediAsas direka untuk kekal mampu milik dari semasa ke semasa, sekali gus memperluas akses kepada perlindungan perubatan bagi segmen masyarakat Malaysia yang lebih besar. Program rintis ini penting bagi memastikan peluncuran MediAsas ke seluruh negara pada tahun 2027 berjalan lancar serta memberikan pengalaman pelanggan (customer journey) yang bersepadu.”

YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan pula menyatakan, “MediAsas merupakan satu langkah signifikan bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik. Disokong oleh langkah-langkah pembendungan kos, termasuk pelaksanaan secara berperingkat sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (Diagnosis-Related Groups - DRG) di hospital swasta, usaha ini akan membantu mengekalkan kos penjagaan kesihatan yang lebih mampan dari semasa ke semasa dengan memberi penekanan yang lebih tinggi terhadap penjagaan berasaskan nilai (value-based care). Bersama-sama dengan reformasi kesihatan yang lebih meluas, MediAsas akan memperkukuh keyakinan pengguna serta menyokong hasil kesihatan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.”

MediAsas akan ditawarkan sebagai pelan perlindungan insurans perubatan dan takaful berasingan (standalone) yang merangkumi dua pilihan produk, iaitu MediAsas Teras (pelan standard) dan MediAsas Fleksi (pelan standard-plus). MediAsas akan menyediakan perlindungan untuk individu sehingga 85 tahun.

Bagi menyokong tadbir urus MediAsas pada masa hadapan serta memastikan ia kekal menjadi platform perubahan yang stabil, JBMKKS juga dalam proses menubuhkan sebuah Lembaga Tadbir Urus Bebas (Independent Governance Board) bagi menyediakan pemantauan berterusan demi melindungi kepentingan pengguna selepas pelaksanaan penuhnya kelak.

Seiring dengan pelaksanaan MediAsas, JBMKKS terus memacu beberapa inisiatif utama di bawah kerangka RESET bagi memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan swasta di Malaysia, termasuk:

  • Penerapan kesihatan digital dan kebolehoperasian rekod perubatan elektronik (EMR) menerusi Rangkaian Persijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN);
  • Menambah baik serta memodenkan pelesenan penjagaan kesihatan swasta melalui semakan komprehensif terhadap proses pelesenan dan pendaftaran yang menyeluruh di bawah Akta 586; dan
  • Mempertingkatkan ketelusan penyediaan bil menerusi kerjasama erat antara hospital swasta, syarikat insurans, pengendali takaful, dan pihak kawal selia.

JBMKKS akan terus memacu agenda RESET menerusi kerjasama erat dengan agensi Kerajaan, syarikat insurans dan pengendali takaful, penyedia perkhidmatan kesihatan, serta pihak berkepentingan yang lain untuk melaksanakan reformasi praktikal yang mampu meningkatkan kadar mampu milik, kebolehcapaian, ketelusan, dan kemampanan dalam seluruh sistem penjagaan kesihatan swasta negara. Perkembangan lanjut akan diumumkan selepas tamatnya program rintis tersebut menjelang peluncuran di peringkat nasional pada Januari 2027.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
6 Julai 2026

↓ Muat turun: JBMKKS Memacu Strategi RESET Menerusi Program Rintis MEDIASAS, Ketelusan Harga dan Inisiatif Kesihatan Digital


LAMPIRAN 1: PERINCIAN INISIATIF

Program Rintis MediAsas

Program rintis MediAsas akan dilaksanakan di Lembah Klang dari akhir Julai hingga Oktober 2026, dengan penyertaan enam syarikat insurans dan pengendali takaful serta hospital-hospital swasta terpilih. Enam syarikat insurans dan pengendali takaful yang mengambil bahagian adalah AIA Berhad, Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.

Premium MediAsas akan ditentukan berdasarkan pengalaman tuntutan perubatan terkini serta trend inflasi kos penjagaan kesihatan. Secara indikatif, premium dijangka kekal dalam lingkungan sasaran bulanan sekitar RM60 hingga RM550 bagi individu dimana umur penyertaan adalah sehingga umur 70 tahun. Penetapan harga muktamad akan disahkan menjelang peluncuran di peringkat nasional.

Program rintis ini bertujuan mengesahkan kesediaan operasi yang menyeluruh, termasuk integrasi sistem, pengalaman pelanggan (customer journey), serta proses operasi dalam persekitaran yang terkawal. Maklumat serta dapatan yang dikumpul daripada program rintis ini akan membantu memperhalusi aturan pelaksanaan menjelang peluncuran di peringkat nasional pada Januari 2027.

  1. Mempercepat Kesihatan Digital dan Kebolehoperasian EMR

    Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan Rangkaian Persijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN) sebagai satu kerangka amanah kebangsaan (national trust framework) bagi menyokong kebolehoperasian yang selamat antara penyedia penjagaan kesihatan awam dan swasta di bawah prinsip “Satu Individu, Satu Rekod”. Menerusi MDHCN, pesakit boleh mengakses dan berkongsi maklumat kesihatan mereka dengan selamat merentasi pelbagai platform penjagaan kesihatan yang berbeza, di samping memastikan rekod kesihatan kekal mudah alih (portable), dilindungi, dan mudah dicapai. Hospital swasta yang merupakan sebahagian daripada rangkaian MediAsas dijangka akan menyertai MDHCN bagi meningkatkan kualiti penjagaan dan perkhidmatan, sekali gus mengurangkan keperluan bagi prosedur diagnostik yang bertindih.

  2. Memodenkan Pelesenan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS)

    JBMKKS telah menyelesaikan semakan komprehensif terhadap proses pelesenan dan pendaftaran yang menyeluruh untuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta di bawah Akta 586. Semakan tersebut telah mengenal pasti pelbagai peluang untuk menyelaraskan proses kawal selia, mengurangkan beban pentadbiran, serta mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan. Tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, inisiatif pendigitalan serta semakan semula piawaian dan peraturan akan dilaksanakan bagi memodenkan proses pelesenan untuk penyedia penjagaan kesihatan.

  3. Meningkatkan Ketelusan Penyediaan Bil

    JBMKKS terus memudahcara kerjasama antara Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), syarikat insurans, pengendali takaful, serta pihak kawal selia untuk menambah baik struktur dan bil hospital swasta. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan ketelusan, memberikan pencerahan yang lebih lanjut mengenai caj penjagaan kesihatan, serta menyokong pengguna dalam membuat keputusan penjagaan kesihatan yang lebih bijak dan berasaskan maklumat lengkap. Bagi mencapai matlamat ini, pasukan kerja telah komited untuk membangunkan satu kerangka bersama bagi pengkategorian dan pembentangan caj hospital menjelang Ogos 2026.

Mengenai RESET

RESET ialah usaha kolaboratif oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan pihak berkepentingan utama untuk menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia supaya dapat memperluas akses dan lebih mampan. Tumpuan yang lebih teliti diberikan kepada penjagaan kesihatan berasaskan nilai dalam usaha menambah baik hasil bagi pesakit, mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menjimatkan kos serta meningkatkan akses kepada penjagaan berkualiti. RESET merangkumi lima teras strategik untuk menangani cabaran dalam sistem penjagaan kesihatan swasta Malaysia melalui 11 inisiatif. Lima teras strategik tersebut ialah:

  • Transformasi insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT)
  • Meningkatkan ketelusan harga
  • Memperkukuh sistem kesihatan digital
  • Memperluas pilihan yang berkesan dari segi kos
  • Mengubah mekanisme pembayaran penyedia

Mengenai JBMKKS

Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) ditubuhkan pada 25 Jun 2025 oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk menangani kenaikan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.

Jawatankuasa ini dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, serta melibatkan wakil- wakil daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia. JBMKKS memainkan peranan penting dalam memacu dan memantau inisiatif di bawah rangka kerja RESET melalui libat urus dan kerjasama yang berterusan. Bagi memastikan sokongan yang menyeluruh, Jawatankuasa ini dipandu oleh Majlis Perundingan yang ahlinya terdiri daripada pihak berkepentingan utama daripada hospital swasta, syarikat insurans dan pengendali takaful, doktor perubatan, kumpulan pengguna dan ahli akademik.

Arkib Siaran Media