Ketika ucapan penggulungan Titah Di-Raja di Dewan Rakyat hari ini, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah, Menteri Kewangan II telah mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) akan menambah baik skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik untuk mengurangkan kesan cukai berganda.
Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024, perkhidmatan logistik dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6% mulai 1 Mac 2024. Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada 25 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor logistik sebelum pelaksanaan perubahan cukai ini, Kerajaan telah memberi pengecualian cukai perkhidmatan untuk:
Bagi mengurangkan impak negatif kepada operasi harian aktiviti logistik, Kerajaan juga telah memberi kemudahan pengecualian antara perniagaan (“business to business” atau B2B) di mana penyedia perkhidmatan logistik tidak perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan komponen perkhidmatan logistik yang sama.
Berdasarkan kepada maklum balas dan pandangan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen, Kerajaan kini bersetuju supaya skop pengecualian B2B perkhidmatan logistik diperluas untuk meliputi penyediaan perkhidmatan di bawah butiran yang sama.
Ini adalah untuk mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata (“cascading effect”) daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik.
Sebagai contoh, dengan peluasan skop pengecualian B2B ini, penyedia perkhidmatan
penghantaran fret bukan sahaja mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan fret tetapi turut layak mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan lain seperti penggudangan, pelabuhan, perkapalan, dan kemudahan rantaian sejuk yang berada dalam butiran sama dengan perkhidmatan fret tersebut.
Kementerian Kewangan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri terutamanya daripada sektor logistik bagi memuktamadkan pindaan ke atas Garis Panduan bagi membolehkan ianya dikuatkuasakan.
Selain itu, Kerajaan memahami keperluan pemain industri untuk mempunyai masa yang mencukupi dalam meminda sistem pengkomputeran mereka. Sehubungan itu, penyedia perkhidmatan logistik yang baharu berdaftar diberi tempoh 1 bulan persediaan dan akan hanya mengenakan cukai perkhidmatan 6% mulai 1 April 2024.
Kementerian Kewangan berharap layanan khas yang diberikan ini dapat terus menyokong pertumbuhan sektor logistik negara dan pada masa yang sama memastikan pengguna termasuk peniaga tidak terbeban.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
11 Mac 2024