Sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah, Kerajaan MADANI akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai 12 Ogos 2025. Dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion[1], 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran sehingga RM650 bagi fasa ini.
Jumlah ini merupakan peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari 2025. Peningkatan ini hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” tambah beliau.
Pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat[2] mengikut kategori kelayakan masing-masing[3].
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
11 Ogos 2025
↓ Muat turun: Siaran-Media-STR-Fasa3-2025
Lampiran
| STR 2024 | STR 2025 | |
|---|---|---|
| Kategori Penerima | RM bilion | RM bilion |
| Isi Rumah (≤ RM2,500) | 1.1 bilion | 1.0 bilion |
| Isi Rumah (RM2,501-RM5,000) | 0.2 bilion | 0.2 bilion |
| Warga Emas Tiada Pasangan | 0.2 bilion | 0.2 bilion |
| Bujang | 0.2 bilion | 0.6 bilion |
| JUMLAH | RM1.7 bilion | RM2.0 bilion |
| Jenis Penerima | Tarikh Pembayaran | Kaedah Pembayaran |
|---|---|---|
| Mempunyai akaun bank | Mulai 12 Ogos 2025 (Selasa) | Dikreditkan terus ke dalam akaun bank. |
| Tiada akaun bank (termasuk di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan) | Pembayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). |
| Kategori Penerima | Kadar Bayaran STR Fasa 3 |
|---|---|
| Isi Rumah (≤ RM2,500) | RM150 - RM650 |
| Isi Rumah (RM2,501-RM5,000) | RM150 - RM300 |
| Warga Emas Tiada Pasangan | RM150 |
| Bujang | RM150 |