Unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang setakat ini berjumlah RM77.3 bilion bagi tahun 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana Kerajaan. Subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, dan bil subsidi (tidak termasuk bantuan kebajikan) dari tahun 2018 – 2022 adalah seperti berikut:
| Jumlah Subsidi Tahunan (RM Bilion) |
2018 | 2019 | 2020 | 2021 | Keperluan 2022* |
|---|---|---|---|---|---|
| Petrol, Diesel & LPG | 7.4 | 6.1 | 1.6 | 13.2 | 37.3 |
| Minyak masak paket 1kg (Cooking Oil Stabilisation Scheme) | 0.4 | 0.3 | 0.5 | 2.2 | 4.0 |
| Subsidi kepenggunaan lain (elektrik, ayam, telur dll) | 0.5 | 0.9 | 0.6 | 1.1 | 9.7 |
| JUMLAH | 8.3 | 7.3 | 2.7 | 16.5 | 51.0 |
Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat, termasuk Bantuan Keluarga Malaysia - BKM (RM11.7 bilion), dan lain lain-lain subsidi (RM14.6 bilion), jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah RM77.3 bilion bagi tahun 2022. Ini juga mengambil kira pengumuman oleh Kerajaan baru-baru ini mengenai:
Kerajaan peka kepada kenaikan harga komoditi dan kadar inflasi ekoran gangguan kepada rantaian bekalan global dan konflik Ukraine-Rusia, yang telah mengakibatkan impak kenaikan harga barangan asas kepada kebanyakan negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Sehubungan itu, subsidi Kerajaan bertujuan untuk menampung kos sara hidup rakyat. Kerajaan juga ingin memaklumkan bahawa bagi subsidi menyeluruh (blanket subsidies) – meliputi petrol, diesel, air dan elektrik – golongan M40 dan T20 juga mendapat manfaat yang besar.
Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor-faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz
Menteri Kewangan
25 Jun 2022