Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Sukuk Prihatin, Sukuk Digital Pertama Malaysia

Sukuk Prihatin, Sukuk Digital Pertama Malaysia

Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan terbitan Sukuk Prihatin di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Majlis perasmian Sukuk Prihatin telah disaksikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, dan disempurnakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia dan YB Tengku Dato’ Sri Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia.

 Sukuk yang akan diterbitkan ini merupakan instrumen patuh syariah berlandaskan prinsip Tawarruq melalui pengaturan Komoditi Murabahah untuk warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas. Sukuk ini boleh dilanggan menerusi JomPAY dan/atau DuitNow yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia. Maybank adalah bank pengedar utama bagi sukuk ini.

Pelaburan minimum Sukuk Prihatin ialah RM500 dan tiada had maksimum. Sukuk Prihatin akan diperuntukkan berdasarkan tarikh dan masa langganan yang paling awal (first come, first served). Tempoh tawaran bagi Sukuk Prihatin ini ialah dari 18 Ogos hingga 17 September 2020.

Jumlah keseluruhan terbitan yang disasarkan ialah RM500 juta, dan Sukuk ini mempunyai tempoh matang selama dua (2) tahun. Dengan tawaran pulangan sebanyak dua peratus (2%) setahun, ia merupakan suatu instrumen yang sesuai untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan (portfolio diversification). Keuntungan akan dibayar setiap suku tahun dan dikecualikan cukai 

Terbitan sukuk patuh syariah ini adalah hasil permintaan dari pelbagai pihak untuk turut membantu di dalam usaha pemulihan ekonomi negara. Sehubungan itu, Kerajaan memutuskan bahawa terbitan sukuk merupakan satu pilihan instrumen yang telus dan bersesuaian dengan permintaan tersebut. Pemegang sukuk diberikan pilihan untuk menyumbang pembayaran balik modal (prinsipal) apabila pelaburan matang selepas dua tahun. Sumbangan ini akan diberi potongan cukai yang sewajarnya.

Hasil terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Covid-19 bagi pelaksanaan inisiatif pemulihan ekonomi, termasuk meningkatkan kesalinghubungan kepada sekolah-sekolah luar bandar; menampung perbelanjaan kesihatan berkaitan penyakit berjangkit; dan membiayai PKS mikro terutamanya usahawan wanita.

Untuk maklumat lanjut tentang terma dan syarat Sukuk Prihatin, sila hubungi bank-bank terlibat atau layari penjana.treasury.gov.my


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
18 Ogos 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility