Hari kelapan pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM102.5 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat jam 9.30 malam. Kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9% bagi dua hari berturut-turut.
Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tujuh hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini.
Kerajaan MADANI mengambil maklum berkenaan hantaran-hantaran media sosial berkaitan tindakan menaikkan harga oleh segelintir peniaga. Sekiranya perkara ini berlaku, siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dilaksanakan. Kerajaan MADANI, melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
"Kerajaan MADANI akan menyiasat aduan bahawa terdapat kenaikan harga barang susulan pelaksanaan Penghargaan SARA. Dalam masa yang sama, Kerajaan menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat," kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.
Orang ramai digalakkan untuk membuat aduan rasmi kepada KPDN untuk membolehkan siasatan segera dilaksanakan. Aduan boleh dikemukakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN di https://eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp di 019-848 8000, atau pusat talian di 1-800-886-800.
Secara keseluruhan sejak pelaksanaan Penghargaan SARA pada 31 Ogos 2025, lebih 11.8 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA bulanan dengan jumlah perbelanjaan rakyat daripada tujuh hari mencecah RM745.7 juta di seluruh negara.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
7 September 2025