Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Transaksi SARA Cecah RM110 Juta Dalam Dua Hari

Transaksi SARA Cecah RM110 Juta Dalam Dua Hari

Hari kedua pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penyaluran SARA bulanan terus mencatat transaksi yang tinggi. Sehingga jam 9.30 malam, lebih 900 ribu rakyat berjaya menyempurnakan perbelanjaan mencecah RM60 juta di seluruh negara hari ini.

Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima telah berjaya berbelanja dalam tempoh dua hari, dengan nilai jualan mencecah RM110 juta di seluruh negara.

Berikutan ledakan transaksi yang direkodkan semalam, peningkatan kapasiti sistem yang dilaksanakan oleh MyKasih telah membolehkan 20% lebih banyak transaksi diproses pada hari ini.

Walaupun kapasiti telah dipertingkatkan, sistem masih mencatatkan kesesakan pemprosesan transaksi di beberapa lokasi. Beberapa pasar raya besar di kawasan bandar turut mengalami kesesakan semasa waktu puncak antara jam 1.00 hingga 2.30 petang.

Bagi menguruskan situasi ini, petugas MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar untuk membantu menyelesaikan isu secara terus di lapangan dan memberikan sokongan kepada peniaga.

Orang ramai dinasihatkan untuk merancang pembelian pada waktu bukan puncak, seperti pagi pada hari bekerja, bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan urusan pembelian.

Kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
1 September 2025

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility