Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Usaha Berterusan Kerajan Menangani Impak Banjir, Termasuk Melalui Agensi-Agensi MoF

Usaha Berterusan Kerajan Menangani Impak Banjir, Termasuk Melalui Agensi-Agensi MoF

Sehubungan dengan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob baru-baru ini, Kementerian Kewangan (MOF) ingin berkongsi laporan yang telah dikemaskini bagi beberapa peruntukan dan langkah-langkah tambahan yang telah diambil oleh Kerajaan bagi menangani bencana banjir:

1. Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) telah ditambahbaik berbanding tahun lepas seperti berikut:

  1. Pertama, kadar BWI ditingkatkan daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir;
  2. Kedua, BWI RM1,000 tersebut diberi bukan sahaja kepada KIR di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi juga diperluaskan kepada KIR yang tidak berpindah ke PPS;
  3. Ketiga, mangsa boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali semasa MTL; dan
  4. Keempat, bantuan kematian kepada waris mangsa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

2. Bagi menyegerakan BWI kepada mangsa banjir, pada 24 Disember 2021, pihak NADMA telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM26.9 juta kepada semua negeri yang terjejas. Selaras dengan penambahbaikan BWI, MOF akan memastikan NADMA mendapatperuntukan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sebenar.

3. Peruntukan awal RM100 juta telah disediakan untuk usaha pemulihan pasca-banjir, termasuk pembersihan dan pembaikan kawasan perumahan dan infrastruktur awam. Bagi menyegerakan dan memudahcara pelaksanaan kerja pemulihan pasca banjir, MOF pada 21 Disember 2021 telah mengeluarkan garis panduan berhubung kelonggaran kaedah perolehan untuk kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir.

4. Penyediaan dana sebanyak RM100 juta di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) MyRinggit-i BANJIR: BSN menawarkan mangsa banjir pembiayaan sehingga RM10,000 (berbanding RM5,000 pada minggu lepas) pada kadar 0% dengan moratorium bayaran balik selama 6 bulan dan selanjutnya bayaran balik dalam tempoh sehingga 3.5 tahun. Pemohon boleh memohon mulai 27 Disember 2021 melalui https://www.bsn.com.my.

5. Peningkatan dana dari RM200 juta ke RM500 juta bagi Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) oleh Bank Negara Malaysia. Kemudahan pinjaman ini akan disediakan melalui bank komersil untuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi membiayai penggantian peralatan yang rosak akibat banjir serta modal kerja. Pembiayaan sehingga RM500,000 akan disediakan untuk PKS; manakala usahawan mikro boleh meminjam sehingga RM75,000. Tempoh pembiayaan adalah sehingga 5 tahun termasuk moratorium bayaran balik selama 6 bulan. Kadar pembiayaan adalah hingga 3.5% setahun termasuk kos jaminan. Permohonan boleh dibuat melalui bank-bank komersil mulai 27 Disember 2021.

Kerajaan akan terus memantau keadaan dan MOF khususnya akan sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu mangsa banjir secepat mungkin.


YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
26 Disember 2021

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility