Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Wang Ehsan Khusus Untuk Manfaat Rakyat Terengganu Dan Kelantan

Wang Ehsan Khusus Untuk Manfaat Rakyat Terengganu Dan Kelantan

Kerajaan MADANI sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal Pemberian kepada semua Kerajaan Negeri. Ini dicerminkan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri serta Peruntukan Pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024. Pemberian Negeri disalurkan kepada semua negeri secara serentak tiap-tiap bulan.

“Kerajaan MADANI komited memastikan bahawa Wang Ehsan dikhususkan untuk manfaat negeri Terengganu dan Kelantan, dengan keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat Terengganu dan Kelantan. Kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan serta cadangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan berhubung penggunaan Wang Ehsan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat Terengganu dan Kelantan,” jelas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Berhubung dengan pemberian Wang Ehsan, ia bukan merupakan pemberian Kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam undang-undang. Namun demikian, Kerajaan MADANI telah menyalurkan Wang Ehsan petroleum sebanyak RM786 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 2023.

Kerajaan juga telah pada minggu lalu menyalurkan Wang Ehsan berjumlah RM172.3 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan bagi membiayai komitmen emolumen Kerajaan Negeri, di samping bayaran RM103.1 juta untuk obligasi Kerajaan Negeri Terengganu kepada kontraktornya.

Sebarang baki Wang Ehsan akan tetap digunakan untuk negeri Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.


Kementerian Kewangan
Putrajaya
8 April 2024

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility