Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020
MESYUARAT DEWAN RAKYAT
UCAPAN YB MENTERI KEWANGAN BAGI BACAAN KALI KEDUA PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG EKSAIS (PINDAAN) 2020
Tuan Yang Di Pertua,
Rang Undang-undang Eksais (Pindaan) 2020 yang dicadangkan adalah bagi meminda Akta Eksais 1976 [Akta 176]. Pindaan yang dilaksanakan dalam Akta ini merupakan pindaan susulan (consequential amendments) daripada pindaan Akta Kastam 1967 yang dicadangkan.
Tuan Yang Di Pertua,
2. Saya memohon untuk menghuraikan setiap fasal dalam Rang Undang-Undang ini. Rang Undang-Undang ini mempunyai 6 fasal seperti berikut:
- Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan;
- Fasal 2 bertujuan meminda subseksyen 19(1) untuk memperuntukkan amaun minimum tuntutan bagi pulangan duti eksais yang boleh dibuat bagi barang-barang import yang duti eksaisnya telah dibayar apabila barang-barang itu dieksport semula, iaitu tidak kurang daripada RM200;
- Fasal 3 bertujuan meminda subseksyen 19A(1) untuk memperuntukkan bahawa apabila barang-barang import yang duti eksaisnya telah dibayar, kemudian dieksport semula, Ketua Pengarah Kastam boleh membenarkan sembilan per sepuluh daripada duti yang dikira itu dibayar semula sebagai pulangan cukai;
- Fasal 4 bertujuan memasukkan seksyen baharu 50B bagi memperuntukkan kuasa tambahan kepada pegawai kastam untuk mengurus dan menjaga tahanan reman dalam tempat tahanan JKDM, sepertimana kuasa seorang pegawai polis;
- Fasal 5 bertujuan memasukkan subseksyen baharu 54(3A) dan (3B) bagi memperuntukkan kuasa kepada pegawai kastam untuk mengesil pengangkut, premis atau tempat yang mengandungi barang, dokumen atau benda yang tidak dapat dialihkan bagi tujuan sitaan. Peruntukan ini juga menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang yang mengganggu sil dan sitaan tersebut serta boleh dikenakan hukuman ke atas kesalahan berkenaan;
- Fasal 6 bertujuan memasukkan seksyen baharu 56E bagi memperuntukkan kebolehterimaan keterangan ejen provokasi dan keterangan yang diberi kepada ejen provokasi untuk digunakan dalam suatu pertuduhan di bawah Akta; dan
- Pindaan lain yang tidak dinyatakan secara khusus adalah pindaan bersifat kecil atau consequential in nature.
Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan.