Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Menandatangani Perjanjian Antara CIMB, CGC dan SJPP

Majlis Menandatangani Perjanjian Antara CIMB, CGC dan SJPP

TEKS UCAPAN


YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL BIN TENGKU ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN ANTARA CIMB, CGC DAN SJPP

ISNIN | 26 SEPTEMBER 2022 | 10.00 – 11.30AM
GRAND BALLROOM, ST. REGIS, KUALA LUMPUR


SALUTASI

Bismillahhirahmannirrahim

Yang Berbahagia Dato' Abdul Rahman Ahmad
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group

Yang Berbahagia Dato’ Mohammed Hussein
Pengerusi, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC)

Yang Berusaha En. Chen Yin Heng
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP)

Rakan-rakan media,

Wakil-wakil daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Persatuan-Persatuan Perniagaan,

Tuan-tuan dan Puan-Puan,

Assalamualaikum W.B.T.

Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

PENDAHULUAN

  1. Alhamdulillah, izinkan saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahuwataa’la kerana dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada pagi ini dalam majlis menandatangani perjanjian antara CIMB, CGC dan SJPP.

  2. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak CIMB kerana sudi menjemput saya ke majlis hari ini untuk menyaksikan komitmen antara CIMB, CGC dan SJPP di mana ia adalah penting untuk membolehkan pemulihan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) pasca pandemik. Ini adalah selaras dengan visi Kerajaan untuk memastikan kemakmuran dan pembangunan bersama untuk rakyat Malaysia.

PERANAN KERAJAAN UNTUK MEMPERKASAKAN MANDAT CGC DAN SJPP

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Kini, kita telah memasuki fasa ekonomi yang baharu, dan terus melangkah ke hadapan dengan harapan dan keyakinan terhadap prospek ekonomi untuk tahun yang akan datang. Saya berbesar hati melihat bahawa CIMB akan memperbaharui komitmennya terhadap pertumbuhan dan pembangunan PMKS di Malaysia melalui perjanjian bersama CGC dan SJPP.

  2. Sejak penubuhannya, CGC, dengan dana yang diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan, sentiasa berada di barisan hadapan dalam mempromosikan saluran pembiayaan pada kos yang berpatutan untuk menyokong pertumbuhan PMKS, terutamanya perusahaan tanpa atau yang tidak mencukupi cagaran dan tiada rekod prestasi kewangan. CGC juga telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan PMKS yang telah memberikan banyak dorongan dalam mempelbagaikan ekonomi Malaysia.

  3. Sejak April 2020 hingga Jun 2022, CGC telah menawarkan sejumlah 13.2 bilion ringgit jaminan untuk PMKS, di mana 6.1 bilion ringgit adalah untuk Kemudahan Bantuan Khas, atau Special Relief Facility (SRF) dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF).

  4. Sejumlah 5.6 bilion ringgit lagi disediakan di bawah skim Jaminan Portfolio/Jaminan Borong. Pada tahun 2021 sahaja, CGC telah memberi jaminan sejumlah 6.1 bilion ringgit, atau 5.9 bilion ringgit lebih tinggi berbanding jaminan pada tahun 2020.

  5. Begitu juga, SJPP, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang diwujudkan untuk mentadbir
    dan mengurus skim jaminan kerajaan yang membolehkan PMKS untuk mendapatkan akses kepada kemudahan pembiayaan daripada institusi kewangan.

  6. Pihak Kerajaan akan terus menyediakan skim jaminan kepada PMKS. Sejak beberapa tahun lalu, dana ini telah membantu banyak PMKS memperoleh akses kepada kemudahan pembiayaan, melalui institusi kewangan di Malaysia. Dengan peruntukan dari Kerajaan dalam bentuk jaminan mahupun dana, bank-bank boleh menyediakan lebih banyak kemudahan pembiayaan pada kadar yang kompetitif, dan ini pastinya amat membantu mereka bangkit semula pasca-pandemik.

  7. Inisiatif ini telah mewujudkan kerjasama kukuh antara Kerajaan dan institusi kewangan, melalui penyediaan penyelesaian alternatif kepada PMKS untuk keperluan cagaran mereka. Justeru, ia merapatkan jurang pembiayaan yang dihadapi oleh banyak PMKS, menjadikan mereka berdaya maju sehingga hari ini.

  8. Sepanjang pandemik, SJPP menyediakan had jaminan tambahan sebanyak 10 bilion ringgit untuk menyediakan jaminan bagi pinjaman yang dijadualkan dan disusun semula untuk syarikat yang memerlukan dalam bentuk jaminan sebanyak 2 bilion ringgit, khususnya untuk perniagaan Bumiputera.

  9. Hari ini, CGC dan SJPP bukan sahaja menyokong peminjamnya, malah mereka juga membantu membina semula landskap kredit kewangan untuk PMKS di Malaysia.

PROGRAM SEMARAK NIAGA KELUARGA MALAYSIA

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Kerajaan optimis bahawa prestasi ekonomi pada suku ketiga (S3) tahun ini akan terus kukuh berdasarkan petunjuk ekonomi semasa yang positif. Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK pada suku kedua 2022 menunjukkan pertumbuhan yang sangat memberangsangkan iaitu sebanyak 8.9 peratus.

  2. Kerajaan yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran rasmi KDNK bagi tahun 2022, iaitu antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.

  3. Sejak pandemik, Kerajaan telah melaksanakan bantuan ekonomi dan pakej rangsangan bernilai 530 bilion ringgit sebagai tambahan kepada Bajet 2021 dan Bajet 2022.

  4. Di samping itu, Kerajaan terus memberikan penekanan dalam menyokong PMKS melalui Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia. Ia berfungsi sebagai pemangkin pemulihan dan penstrukturan semula perniagaan untuk PMKS, yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang negara.

  5. Peruntukan 40 bilion ringgit di bawah Program Semarak Niaga melalui Bajet 2022 adalah bertujuan untuk membantu mengembalikan keupayaan perniagaan melalui akses kepada pelbagai pembiayaan yang merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan, dan suntikan ekuiti.

  6. Dengan sokongan tambahan oleh Kerajaan, semua peringkat usahawan dan perniagaan dapat menerima sokongan yang holistik daripada Kerajaan dan agensi-agensi yang mengambil bahagian. Ini termasuk industri perbankan yang juga telah memainkan peranan penting dalam memelihara perniagaan dan memudahkan bantuan pembayaran balik peminjam di bawah perlaksanaan Program Semarak Niaga ini.

  7. Langkah tersebut termasuk pembiayaan Ekuiti/alternatif (2.2 bilion ringgit), Pinjaman Mudah PKS (14.2 bilion ringgit) dan jaminan SJPP (22 bilion ringgit termasuk peruntukan khas Bumiputera sebanyak 2 bilion ringgit).

  8. Salah satu ciri-ciri yang dibangunkan khas oleh Kementerian Kewangan semasa merangka langkah-langkah Semarak Niaga ialah penawaran moratorium, di mana peminjam boleh mendapat bantuan moratorium sekurang-kurangnya untuk enam bulan (atau sehingga 12 bulan di bawah TEKUN) pada kadar pinjaman sifar peratus.

  9. Selain itu, koperasi juga mendapat manfaat daripada Semarak Niaga melalui Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) (10 juta ringgit), Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (30 juta ringgit) dan Penyediaan tapak perniagaan lori makanan (food truck) di kawasan bandar (1.75 juta ringgit).

  10. Kerajaan juga telah memperuntukkan 5 juta ringgit kepada Yayasan Kepimpinan Wanita untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi antara lain termasuk latihan kepimpinan belia dan program keusahawanan.

  11. Alhamdulillah, sehingga akhir Jun 2022, pelbagai inisiatif Semarak Niaga mempunyai kadar penggunaan melebihi 70 peratus. Ini termasuk Kemudahan Perusahaan Mikro, atau Micro Enterprise Fund (MEF), Skim Pinjaman Informal dan Mikro (SPIM), Dana Pelaburan Bersama Malaysia, atau Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) dan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS, atau SME Automation and Digitalisation Facility.

  12. Sama seperti persembahan video testimoni pelanggan CIMB sebentar tadi, saya turut terharu dengan ribuan kisah kejayaan penerima manfaat yang telah dikongsikan, termasuk:

    1. Pertama, Encik Callum K. S. Chen merupakan pengasas LH Plus Sdn Bhd yang ditubuhkan 75 tahun yang lalu. Operasi syarikat Encik Callum terjejas sejak pandemik COVID-19 melanda. Namun, dengan bantuan SJPP untuk PMKS, perniagaan Encik Callum beransur pulih;

    2. Kedua, Puan Nik Zaiton merupakan pengasas BoraOmbak Marina Putrajaya. Perniagaan beliau terjejas teruk selama 2 tahun akibat pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, perniagaan beliau telah kembali pulih setelah menerima moratorium dan juga bantuan kewangan daripada SME Bank; dan

    3. Ketiga, Encik Mani Vannan yang merupakan pengasas Lotus Cable Industries. Perniagaan beliau juga terjejas akibat pandemik COVID-19. Tetapi, dengan bantuan dana SRF, perniagaan beliau kian pulih.

  13. Cerita mereka boleh diikuti melalui laman YouTube MOF, dan salah satu perkara yang disebut oleh mereka adalah betapa senangnya untuk membuat permohonan, dan kelulusan juga diberikan dengan segera. Tahniah CGC, SJPP dan bank-bank tempatan yang sama-sama menyumbang kepada pemulihan sektor PMKS di negara kita.

RANCANGAN 2023

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Bajet 2023 akan mengekalkan fokus pada momentum pemulihan ekonomi negara, di samping mengutamakan pembaharuan berterusan untuk meningkatkan kebajikan rakyat, serta menambah baik daya saing perniagaan bagi memastikan kita, sebagai sebuah negara, bersedia untuk menempuh sebarang cabaran yang akan datang.

  2. Bajet 2023 juga akan memberi tumpuan dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, mencapai ketahanan dan daya saing yang tinggi melalui penerapan teknologi yang inovatif, serta menaik taraf pembangunan modal insan dan tenaga kerja golongan PMKS negara ini.

  3. Namun, banyak cabaran yang bakal dihadapi bagi suku keempat dan tahun 2023, ekoran perang di Ukraine yang berterusan, prinsip COVID-sifar China, pendekatan US Federal Reserve dalam menaikkan kadar faedah bagi menangani inflasi, dan gangguan rantaian bekalan. Jadi sebagai pemudahcara sektor perniagaan, agensi seperti CGC dan SJPP harus bersiap sedia bagi terus membantu PMKS dalam mempertahankan pemulihan yang telah dicapai pasca-pandemik.

  4. Dalam hal membina daya tahan, automasi dan pendigitalan juga penting, dan perkara ini pastinya akan terus diberi penekanan di dalam Bajet 2023.

  5. Walau apa cabaran sekalipun, seperti yang telah terbukti semasa zaman pandemik, InsyaAllah kita akan capai keberhasilan positif melalui usahasama kita membantu sektor perniagaan bertahan dan bangkit semula.

PENUTUP

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin menekankan sekali lagi komitmen Kerajaan dalam menyokong dan memudahkan urusan perniagaan untuk semua pemilik perniagaan, khususnya PMKS. Besarlah harapan saya sekiranya semua perniagaan akan meneruskan usaha mereka dalam peralihan ke arah pemulihan dan memanfaatkan persekitaran perniagaan baharu dengan peluang yang sedia ada di peringkat tempatan dan serantau.

  2. Saya ingin juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada CGC, SJPP dan CIMB. Saya kagum dengan usaha secara kolektif ini dalam memastikan PMKS Malaysia, sebagai tulang belakang ekonomi, terus beradaptasi dan berkembang maju dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah.

  3. Dengan ini, saya doakan agar usaha dan pelaksanaan kerjasama ketiga-tiga pihak berjalan lancar dan menjadi inspirasi kepada institusi kewangan lain dalam berganding bahu ke arah pemulihan sektor PMKS.

  4. Akhir kata, dengan lafaz Bismilahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Menandatangani Kerjasama antara CGC, SJPP dan CIMB.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility