Teks Ucapan Menteri Kewangan Malaysia Sempena Majlis Pelancaran Bulan Literasi Kewangan

 Teks Ucapan Menteri Kewangan Malaysia Sempena Majlis Pelancaran Bulan Literasi Kewangan

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

  1. Pertama sekali, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Jaringan Pendidikan Kewangan, atau Financial Education Network, FEN, yang sudi menjemput saya untuk melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2021.

  2. Pengurusan kewangan yang baik merupakan satu kemahiran hidup yang kritikal di zaman ini. Namun, mengikut Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2018, masih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai tahap keyakinan yang rendah dalam merancang kewangan mereka. Peka akan realiti ini, usaha bersepadu antara sektor awam dan swasta yang diterajui oleh FEN giat dijalankan untuk mendidik pengguna membuat keputusan kewangan dengan lebih baik, biarpun dari segi perancangan kewangan, pelaburan atau persaraan. Melalui FEN juga, elemen pendidikan kewangan telah diterapkan ke dalam kurikulum di semua peringkat persekolahan, termasuk pra-sekolah.

  3. Sehubungan itu, FEN telah merangka ‘Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan’ yang merangkumi tempoh lima tahun, dari 2019 hinggalah 2023. Strategi ini bertujuan untuk membentuk sikap dan tingkah laku yang berhemat dalam pengurusan kewangan, sekaligus meningkatkan celik kewangan di kalangan rakyat.

  4. Keperluan strategi ini bertambah jelas berikutan pandemik COVID19 yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan masyarakat, malah juga telah menggugat kesejahteraan kewangan rakyat.

  5. Pengalaman kita selama 19 bulan lepas dalam mengharungi saatsaat getir pandemik perlu dijadikan iktibar untuk merancang kewangan dengan lebih baik. Bagi semua lapisan rakyat, dan tanpa mengira sumber mata pencarian kita, adalah mustahak untuk kita menerapkan ilmu pengurusan wang yang mendalam bagi membina daya ketahanan kewangan yang tinggi.
  6. Sehubungan itu, FEN telah menjalankan lebih daripada 400 inisiatif dari Januari 2020 hingga Julai 2021, yang melibatkan hampir 47 juta interaksi bersama rakyat.

  7. Selanjutnya, edisi kedua Bulan Literasi Kewangan atau Financial Literacy Month, FLM, akan berlangsung sepanjang bulan Oktober ini.

  8. Saya amat teruja dengan penganjuran FLM pada tahun ini yang bertema ‘Tentukan Hala Tuju Kewangan Anda, Jaga Diri dan Bertindak dengan Bijak’. Aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang bulan ini adalah berdasarkan lima (5) strategi utama yang telah digariskan dalam Strategi Kebangsaan iaitu:

    1. Pertama, menyemai nilai murni dari usia muda;

    2. Kedua, meningkatkan akses kepada maklumat, instrumen dan sumber pengurusan kewangan;

    3. Ketiga, memupuk tabiat kewangan yang positif dalam kalangan kumpulan sasaran, khususnya belia dan golongan pekerja, termasuklah yang bekerja sendiri;

    4. Keempat, memperkasa amalan perancangan kewangan jangka panjang dan persaraan; dan

    5. Kelima, mengumpul dan melindungi harta.

  9. Sepanjang bulan Oktober 2021, rakyat akan dapat memanfaatkan pelbagai sumber maklumat serta aplikasi pendidikan kewangan oleh FEN dan rakan strategiknya melalui laman web FEN, siri webinar dan pelbagai program untuk semua lapisan masyarakat. FLM2021 ini akan membuka peluang kepada rakyat untuk memahami pelbagai aspek kewangan, termasuk bantuan penyelesaian masalah kewangan.

  10. Acara kemuncak FLM2021, iaitu FLM2021 Finale, akan berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober 2021 dan akan menawarkan pelbagai pengisian. Ini termasuk program “Klinik Khidmat Nasihat Kewangan Secara Maya” bersama 22 institusi perbankan di Malaysia. Rakyat boleh mendapatkan panduan dan rundingan secara bersemuka atau “one-to-one” dalam talian bagi membantu perancangan aliran tunai mereka. You can now meet your banks at Virtual Financial Advisory Clinics. Rakyat juga boleh mengunjungi pelbagai pameran maya oleh ahli dan rakan strategik FEN yang menyediakan khidmat nasihat berkaitan dengan pengurusan kewangan.

  11. Perkembangan pesat teknologi digital pasca pandemik telah meningkatkan keperluan bakat digital dan ekonomi perkongsian. Malah, ia membuktikan perlunya perubahan dalam cara kita menerokai peluang pekerjaan dan perniagaan baru. Justeru, FLM2021 juga akan menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran, latihan semula dan menjana pendapatan, terutamanya melalui platform digital. Peluang ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pekerja gig serta perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang terjejas akibat pandemik, bagi membuka peluang menambah pendapatan isi rumah. Walau bagaimanapun, perubahan ini perlu hadir bersama ilmu pengurusan wang untuk membina daya tahan kewangan pada masa hadapan.

  12. FLM2021 juga menawarkan khidmat nasihat kewangan dan panduan kepada rakyat terutamanya yang terkesan akibat COVID-19. Penekanan aspek ini amat bertepatan dengan usaha untuk membantu rakyat, lebih-lebih lagi pada masa yang mencabar ini.

  13. Walaupun dalam usaha untuk menambah pendapatan, izin saya ingatkan supaya berhati-hati agar tidak terjebak dalam penipuan kewangan. Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia mendapati sepanjang 2019 hingga Jun lalu, sebanyak 5,527 kes penipuan Macau Scam direkodkan melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM327.9 juta. Maka, orang ramai disyorkan mengikuti pelbagai inisiatif semasa FLM2021 bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan modus operandi terkini skim-skim ini dan cara-cara mengelak daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.

Saudara dan saudari sekalian,

  1. Pandemik ini turut mengajar kita akan kepentingan jaringan keselamatan kewangan atau financial safety net. Walau bagaimanapun, ramai yang masih menganggap jaringan keselamatan kewangan seperti perlindungan insurans dan takaful sebagai perkara yang tidak mampu dimiliki, meskipun mereka sedar bahawa perlindungan insurans dan takaful merupakan perkara yang sangat penting dalam pengurusan kewangan.

  2. Sejajar dengan FLM2021, ingin saya berkongsi bahawa Kerajaan dengan kerjasama industri insurans dan takaful telah melancarkan insentif Baucar Perlindungan Tenang RM50 baru-baru ini.

  3. Perlindungan Tenang telah diperkenalkan pada tahun 2017 dan menyediakan pelan insurans dan takaful yang mampu milik, mudah diakses, memberikan perlindungan yang baik, mudah difahami serta mudah untuk dibeli dengan proses tuntutan yang senang dan ringkas. Produk Perlindungan Tenang boleh didapati dengan harga serendah RM12 setahun.

  4. Melalui insentif Baucar Perlindungan Tenang, penerima Bantuan Prihatin Rakyat layak mendapat baucar sebanyak RM50 bagi mengambil perlindungan insurans atau takaful sebagai jaringan keselamatan kewangan untuk seisi keluarga. Sehingga 30 Jun 2021, terdapat 14 syarikat insurans dan pengendali takaful yang menawarkan 17 produk Perlindungan Tenang yang telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, merangkumi manfaat seperti kematian, kemalangan diri dan kerosakan harta benda akibat kebakaran atau banjir.

  5. Bersempena dengan FLM2021 ini, besarlah harapan saya agar pemberian baucar oleh Kerajaan akan menjadi pemangkin ke arah membudayakan pengambilan insurans dan takaful bagi melindungi keluarga dan orang yang tersayang.

  6. Akhir kata, adalah setinggi-tinggi harapan saya supaya Bulan Literasi Kewangan 2021 dapat dimanfaatkan lebih ramai rakyat pada tahun ini, Insya Allah. Ayuh Keluarga Malaysia, marilah kita membina daya ketahanan kewangan yang lebih tinggi demi kesejahteraan kita bersama.

  7. Dengan besar hati dan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2021.

Wabillahitaufiq Wal-hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
15 Oktober 2021