UCAPTAMA
YB TENGKU DATO’ SRI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
MAJLIS PENYERAHAN SURAT ANUGERAH PENJANA KAPITAL
ISNIN, 14 NOVEMBER 2020 8:30– 9.30 AM
Yang Berbahagia Dato’ Asri bin Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Yang Berbahagia Dato’ Shahrul Nazri bin Abdul Rahim, Pengerusi Penjana Kapital
Ahli-ahli Lembaga, Panel Pelaburan dan pengurusan Penjana Kapital
Wakil-wakil pengurus dana Modal Teroka antarabangsa dan rakan kongsi tempatan mereka,
Warga Media, Tuan-tuan dan puan-puan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh and dan selamat pagi.
PENGENALAN
1. Saya berbesar hati dapat berada di Majlis Penyerahan Surat Anugerah Penjana Kapital hari ini, yang melambangkan sebuah langkah ke hadapan untuk start-ups dan sektor modal teroka atau venture capital di Malaysia.
2. Empat bulan lepas, saya berpeluang untuk melancarkan Program Dana Penjana Nasional, di mana saya menyentuh tentang kedudukan Malaysia antara 15 destinasi Modal Teroka teratas di dunia, seperti yang dapat dilihat dalam Indeks Private Equity Country Attractiveness 2018, serta betapa pentingnya pasaran ini disokong dan dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi kita.
3. Hari ini, saya bangga melihat Penjana Kapital melakar sejarah, menghubungkan start-up di Malaysia dengan Modal Teroka antarabangsa, dalam menyediakan ekosistem yang rancak bagi membuka jalan untuk firma-firma berpotensi tinggi terus berkembang maju.
4. Dana Penjana diperkenalkan sebagai salah satu langkah dalam pakej rangsangan ekonomi Kerajaan bagi mengharungi kesan pandemik COVID-19. Usaha ini dilihat sangat diperlukan untuk memacu pertumbuhan start-up kita, yang telah bertahan di dalam suasana norma baharu ini.
5. Ini bukan sekadar satu lagi dana start-up yang baru. Dengan tumpuan terhadap sektor seperti agritech, fintech, edutech, mobiliti, dan AI, sasaran asal kita adalah untuk menubuhkan dana bernilai 1.2 bilion ringgit yang diperuntukkan secara efektif kepada firma berpotensi tinggi, beserta garis panduan matlamat yang jelas untuk dicapai oleh firma-firma ini.
6. Hari ini, saya dengan sukacitanya mengalu-alukan lapan pengurus dana modal teroka yang telah membantu Penjana Kapital melangkau sasaran ini, dengan saiz dana 1.57 bilion ringgit secara keseluruhannya, atau 370 juta lebih tinggi daripada peruntukan yang diunjurkan.
7. Kelapan-lapan mereka ini telah dipilih di kalangan 51 pemohon dari seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, China, Korea, Indonesia dan Singapura. Untuk memastikan keserasian dengan pemain domestik, proses penilaian yang ketat telah dilaksanakan, dan kami dengan sukacita memaklumkan bahawa aturan ini dilihat mampu mencapai objektif utama kita, dan lebih lagi.
8. Terima kasih kepada Penjana Kapital, lembaga pengarah dan Panel Pelaburan mereka, serta semua yang telah menyumbang bagi memastikan kejayaan inisiatif ini. Penyertaan pelabur asing yang menggalakkan ini juga menunjukkan keyakinan kukuh masyarakat antarabangsa terhadap dasar mesra pelaburan Malaysia, serta prospek pertumbuhan industri ekonomi dan industry start-up negara.
USAHA MALAYSIA UNTUK MENGGALAKKAN PELABURAN
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Pelaburan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi dan produktiviti jangka panjang. Rangsangan Modal Teroka ini adalah sebahagian daripada usaha meluas Kerajaan untuk menambah baik persekitaran start- up negara, dan menjana lebih banyak peluang perniagaan, terutamanya dalam sektor yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi untuk ekonomi.
10. Organisasi seperti Penjana Kapital bertugas memperkasa sektor ini melalui pemindahan pengetahuan, serta pertumbuhan berganda hasil rangkaian perhubungan yang turut berkembang. Usaha hari ini, lebih dari sekadar menyediakan keperluan pembiayaan jangka pendek bagi syarikat-syarikat ini. Bagi jangka masa panjang, Penjana Kapital telah menubuhkan Pelan Pemindahan Pengetahuan, atau Knowledge Transfer Plans (KTP), untuk menetapkan matlamat yang jelas bagi semua pemain yang terlibat.
11. Terdapat 91 KTP di bawah Penjana Kapital, dan matlamatnya adalah untuk mencipta sekurang-kurangnya 1,800 pekerjaan berkemahiran tinggi, melalui projek di syarikat yang dilaburkan atau pemindahan pengetahuan. Ini sejajar dengan objektif Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan, dengan fokus terhadap produk dan perkhidmatan yang bernilai tambah tinggi.
12. Melihat kepada sejarah, Malaysia sebenarnya telah lama menjadi tumpuan pelabur, kerana negara kita diberkati dengan ekosistem mantap yang terdiri daripada modal insan yang berbakat, infrastruktur utama digital dan fizikal, dasar Kerajaan yang mesra pelabur, dan kepelbagaian di dalam pasaran tempatan yang menjadikan Malaysia sebuah destinasi permulaan yang baik untuk meneroka pasaran Asean.
13. Malaysia telah menunjukkan ketahanan dari segi pelaburan walaupun turut dilanda pandemik yang mencabar ekonomi dunia, dengan jumlah pelaburan yang diluluskan melebihi 100 bilion ringgit dalam tempoh 9 bulan pertama 2020 sahaja.
14. Iniadalahsesuatuyangpatutdiiktiraf,memandangkankeadaanekonomi global yang tidak menentu, dan saya percaya bahawa ekosistem Kerajaan tersedia untuk terus memacu pertumbuhan yang lebih rancak dan mampan. Sejak pelancaran pelan pemulihan ekonomi PENJANA pada bulan Jun 2020, sehinggalah di dalam Belanjawan 2021 yang baru saya bentang, Kerajaan telah melaksanakan dan merancang pelbagai langkah untuk menggalakkan pelaburan tempatan dan asing termasuk:
15. Saya optimistik kita akan melihat lebih banyak penyertaan pelabur di Malaysia, dan saya memberikan jaminan bahawa Kerajaan akan terus menyokong pelaburan berimpak tinggi di negara ini.
AGENDA HIJAU DI DALAM PERNIAGAAN, TEKNOLOGI DAN KEWANGAN
Hadirin sekalian,
16. Hari ini, prinsip kelestarian kian diterima pakai sebagai sebahagian daripada peralihan kepada sebuah komuniti yang lebih bersih, mampan dan berdaya tahan. Contoh paling mudah boleh dilihat daripada peningkatan penyertaan terhadap Sustainable and Responsible Investments atau SRI di kalangan sektor swasta.
17. SRI merangkumi konsep kewangan mampan, operasi yang mengutamakan kelestarian, dan usaha mencapai keseimbangan dalam sumbangan aktiviti perniagaan kepada keuntungan, komuniti dan alam sekitar atau people-planet-profit.
18. Buat kali pertama, Kerajaan telah menyelaraskan inisiatif-inisiatif Belanjawan tahunan dengan matlamat pembangunan lestari atau Sustainable Development Goals yang dirangka oleh Persatuan Bangsa- Bangsa Bersatu. Saya berbangga dengan usaha pengukuhan agenda kelestarian negara, contohnya melalui lanjutan Skim Pembiayaan teknologi Hijau atau GTFS 3.0 berjumlah RM2 bilion, untuk menggalakkan penerbitan sukuk SRI, beserta juga rancangan Kerajaan untuk menerbitkan bon kelestarian pertama tahun ini.
19. Kerajaan juga komited untuk memastikan kemampanan dan kelangsungan PKS dan PKS mikro di negara kita, di saat COVID-19 masih melanda. Bantuan dan insentif berjumlah RM24 bilion disediakan untuk lebih 1.4 juta perniagaan, termasuk Danan pinjaman mudah PKS, Program Subsidi Upah dan Geran Prihatin Nasional.
20. Bagi industry start-up pula, Malaysia kian menyaksikan pembabitan di dalam sektor teknologi hijau, seperti pengurusan sisa, tenaga boleh baharu, serta penghasilan produk hijau yang mengurangkan jejak karbon.
21. Dalam mempromosikan agenda hijau ini, saya berharap bahawa usahawan kita akan menggunakan ekosistem pelaburan yang ada, seterusnya meneroka teknologi hijau yang semestinya mampu memberikan keuntungan triple bottom line iaitu people-planet-profit yang disebut tadi.
22. Sektorstart-upMalaysiatentunyamempunyaikemampuandanpotensi untuk menjayakan konsep ini, melihat kepada peningkatan yang ditunjukkan saban tahun. Dalam sektor fintech, contohnya, kita melihat bagaimana ia menjadi salah satu sektor yang berkembang pesat bagi negara kita, sehingga Malaysia menjadi hab operasi bagi lebih kurang 200 syarikat fintech pada tahun 2019.
23. Kerajaan juga menggalakkan kerjasama dengan pelbagai agensi yang telah digerakkan untuk menyokong segmen ini, termasuk MaGIC, MDEC, MTDC, serta organisasi seperti Cradle, Malaysian Debt Ventures, dan pelbagai lagi platform Equity Crowd Funding (ECF) untuk memudahcara industri pelaburan kita.
24. Namun,masihterdapatruanguntuksektorstart-upnegaraberkembang dengan lebih pesat berbanding dengan rakan-rakan serantau, melihat kepada jumlah pembiayaan Kerajaan yang belum dimanfaatkan. Di sini, organisasi seperti Penjana Kapital perlu memainkan peranan untuk menyokong dan menggalakkan usahawan kita untuk meneroka perniagaan baru, serta mengembangkan sektor pembiayaan swasta ini untuk kemudahan mereka.
PENUTUP
Hadirin sekalian,
25. Saya percaya bahawa Malaysia masih kekal sebuah destinasi pelaburan yang menarik bagi start-up di rantau Asia. Apabila pelabur menumpukan usaha mencari hasil di dalam dunia berdepan suasana pulangan rendah atau low interest rate environment, Malaysia berada di dalam kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan yang secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara.
26. Ini juga akan merancakkan industri VC dari segi peningkatan bakat, serta menyumbang kepda mekanisma pembahagian risk-reward yang lebih kemas bagi pelabur dan perniagaan atau investee terlibat. Manakala PKS dan PKS mikro mempunyai pilihan alternatif untuk mengumpul dana bagi melonjakkan perniagaan mereka.
27. Selain daripada pengumpulan dana, proses ini juga secara tidak langsung membolehkan usahawan kita untuk mendapatkan kepakaran daripada komuniti tempatan dan luar negara. Hasilnya, peluang pekerjaan meningkat, dan kesemua ini meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk pemulihan ekonomi dan matlamat jangka panjang untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
28. Kepada yang terpilih di bawah Program Dana Penjana, selamat datang saya ucapkan bagi menyertai inisiatif ini, dan saya yakin anda akan memenuhi mandat anda di sini. Kita di sini menghargai keyakinan anda terhadap Malaysia, dan saya ucapkan semoga berjaya dalam kerjasama ini.
29. Dan kepada Penjana Kapital, tahniah sekali lagi atas kejayaan pertama ini, dan semoga ini memberikan semangat untuk menjayakan pelbagai usaha baharu selepas ini. Terima kasih.