Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Teks Ucapan Menteri Kewangan Malaysia Sempena Majlis Pelancaran JanaNiaga

Teks Ucapan Menteri Kewangan Malaysia Sempena Majlis Pelancaran JanaNiaga

Bismillahirrahmanirrahim.

Yang Berusaha Puan Zakiah binti Jaafar
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar)
Kementerian Kewangan

Yang Berusaha Puan Anis Rizana binti Zainnuddin
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan)
Kementerian Kewangan

Yang Berbahagia Datin Rashidah binti Mohd Sies
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan)
Kementerian Kewangan

Yang Berusaha, Encik Chin Chon Young
Ketua Pegawai Bertugas, Exim Bank Malaysia

Encik Imri Mokhtar
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Telekom Malaysia Berhad (TM).

YM Tengku Muhammad Taufik
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)

Dato’ Mohd Nizam Zainordin
Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan
Permodalan Nasional Berhad (PNB)

Dato’ Mohamed Nasri Sallehuddin
Pengarah Eksekutif,
Khazanah Nasional Berhad

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif

Ketua-ketua Jabatan,

Rakan-rakan media, dan seluruh rakan niaga yang mengikut Majlis Pelancaran JanaNiaga secara maya ini.

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.

1. Terima kasih kepada semua hadirin dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan institusi-institusi kewangan yang hadir bersama dengan saya pada hari ini bagi majlis perasmian platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional, JanaNiaga.

2. Seperti yang kita sedia maklum, sejak tahun 2020, Malaysia mengharungi tempoh sangat mencabar dengan penularan wabak COVID-19 yang telah menjerut ekonomi negara. Bagi menyokong sektor ekonomi negara, Kerajaan telah melancarkan lapan pakej rangsangan dan bantuan bernilai 530 bilion ringgit, belum termasuk Belanjawan 2021 bernilai 322.5 bilion ringgit yang merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

3. Baru-baru ini, Kerajaan telah melancarkan pakej PEMULIH berjumlah 150 billion ringgit yang merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak 10 billion ringgit untuk meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong kelangsungan perniagaan dan meningkatkan usaha vaksinasi.

4. Sepanjang pelaksanaan kesemua pakej-pakej ini, kita telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta premis dan entiti perniagaan setakat ini. Lebih 200 bilion ringgit telah dimanfaatkan dalam tempoh berkenaan. Dari segi subsidi upah, lebih RM15 bilion telah disalurkan untuk menyelamatkan 2.8 juta pekerjaan dan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengekalkan kapasiti.

5. Kerajaan melakukan semua ini kerana PKS merupakan komponen yang sangat penting dalam ekonomi Malaysia. PKS menyumbang lebih 38.9 peratus daripada keluaran dalam negeri kasar serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 7.3 juta pekerja di Malaysia, iaitu 48.4 peratus daripada jumlah pekerjaan dalam negara. PKS juga menyumbang sebanyak 17.9 peratus daripada nilai eksport negara. Dengan kadar pengangguran yang telah turun kepada 4.5 peratus setakat Mei 2021, berbanding 5.3% pada Mei 2020, Kerajaan juga perlu mengambil langkah-langkah untuk terus menyokong PKS bagi melindungi pekerjaan dan memastikan mereka terus menyumbang kepada ekonomi negara.

6. Kecairan tunai PKS adalah teramat penting dalam saat-saat genting pandemik ini untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Oleh itu, Kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif antaranya melalui pembiayaan kredit mikro di mana dana sebanyak 2.9 billion ringgit disediakan bagi membantu usahawan PKS dan PKS mikro melalui institusi kewangan dan agensi-agensi kerajaan. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga komited untuk meningkatkan peruntukan Dana BNM bagi pembiayaan PKS, yang keseluruhannya kini berjumlah RM8.6 bilion, selepas tambahan 2 billion ringgit di bawah pakej Pemerkasa Tambahan and 2 billion ringgit di bawah pakej Pemulih.

7. Untuk pengetahuan semua, lebih 12 billion ringgit telah diluluskan kepada hampir 26,000 PKS menerusi Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh BNM setakat Jun 2021. Ini merangkumi Special Relief Facility (SRF), Automation & Digitalisation Facility (ADF), All-Economic Sector Facility (AES) dan Agrofood Facility (AF).

Hadirin sekalian,

8. Platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional ataupun National Supply Chain Finance Platform yang diberi nama“JanaNiaga” ini telah diumumkan pada 6 November 2020 yang lepas semasa pembentangan Belanjawan 2021. Platform JanaNiaga ini akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama. Bantuan kepada PKS ini akan diberikan melalui pinjaman daripada institusi-institusi kewangan melalui platform JanaNiaga ini.

9. Platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional seperti JanaNiaga ini memberi faedah besar kepada ekosistem dan telah diguna pakai secara meluas oleh sektor ekonomi negara luar. Penggunaan platform ini menyokong pemulihan ekonomi jangka panjang dan selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi dan pendigitalan serta pengunaan teknologi baharu bagi mempercepatkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

10. Seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021, platform JanaNiaga ini akan diterajui oleh EXIM Bank, dengan penglibatan beberapa institusi kewangan di Malaysia. Bagi memastikan bantuan kepada PKS dapat diberikan dengan secepat mungkin, peruntukan sebanyak 300 juta ringgit telah disediakan oleh EXIM Bank untuk menggerakkan JanaNiaga.

11. Jumlah ini dijangka akan mencecah 1.2 billion ringgit dengan peruntukan tambahan daripada institusi-institusi kewangan yang akan menyertai JanaNiaga secara berfasa. Dengan purata tempoh invois selama 90 hari, jumlah ini akan bakal menyumbang sebanyak 4.8 billion ringgit setahun kepada kecairan tunai PKS.

Hadirin Sekalian,

12. Platform JanaNiaga berterajukan pembiayaan invois daripada pembekal GLC menerusi portal digital. Dengan sokongan GLC, pembekalpembekal PKS ini akan menikmati kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus setahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus, jauh lebih rendah daripada pembiayaan pada kadar biasa. Permohonan pembiayaan juga dibuat secara dalam talian, membolehkan setiap permohonan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja.

13. Pada peringkat awal ini, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama PETRONAS dan Telekom Malaysia. Dengan itu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada PETRONAS dan juga Telekom Malaysia di atas kesudian mereka bersama-sama menjayakan platform JanaNiaga ini.

14. Sebagai penutup, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih khas kepada pihak penganjur EXIM Bank, serta PETRONAS, Telekom Malaysia, institusi-institusi kewangan, agensi-agensi yang terlibat dan hadirin sekalian yang sudi meluangkan masa untuk majlis hari ini.

15. Teguh kita, menang bersama.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility