Ucapan Menggulung Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kewangan

Ucapan Menggulung Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kewangan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam Sejahtera

  1. Ingin saya menzahirkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan ke atas Titah Diraja semasa Majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, yang lalu. Ucapan terima kasih juga kepada 18 Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong di Dewan yang mulia ini dari 14 sehingga 21 September 2021. Beberapa perkara dan isu berbangkit berkaitan portfolio Kementerian Kewangan akan saya perjelaskan manakala sebarang pandangan, cadangan dan teguran yang telah diberikan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian adalah amat dihargai.

  2. Izinkan saya memberi penjelasan ke atas beberapa perkara yang telah dibangkitkan di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan berdasarkan isu-isu yang telah dibahaskan.

PELAN PEMULIHAN NEGARA (PPN)

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Yang Berhormat Pasir Mas dan Parit telah membangkitkan isu bantuan dalam Pelan Pemulihan Negara.

  2. Untuk makluman Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, Pandemik COVID-19 bukan sahaja telah mengakibatkan krisis kesihatan malah mengekang pertumbuhan ekonomi negara akibat penutupan sektor perniagaan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Impak penularan wabak ini sememangnya telah memberi kesan langsung kepada para peniaga khususnya dalam kalangan PKS dan peniaga kecil untuk menampung beban kewangan dan aliran tunai mereka.

  3. Sebagai langkah tindak balas Kerajaan dalam menangani isu ini, Kementerian Kewangan telah memperkenalkan 8 pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai 530 bilion ringgit antaranya bertujuan untuk menyokong dan melonjakkan kembali perniagaan yang terjejas sewaktu tempoh pandemik. Pelbagai bentuk bantuan kepada peniaga PKS telah diberikan seperti pembiayaan mikro kredit berjumlah 2.54 bilion ringgit, pemberian subsidi upah sebanyak 23.8 bilion ringgit dan insentif menggalakkan peralihan PKS dan PKS mikro ke dalam ekosistem digital untuk mempromosi usaha pembelian secara dalam talian.

  4. Sebagai langkah penyediaan Bajet 2022 yang akan diumumkan kelak, Kementerian Kewangan sedang giat melaksanakan pelbagai sesi libat urus dengan pemain industri dan NGO termasuklah jelajah ke negerinegeri bagi mendengar maklum balas serta cadangan yang diperlukan dalam memastikan Bajet 2022 dirangka secara inklusif dan dapat menyokong pembukaan semula sektor perniagaan sewaktu fasa pemulihan ini. Insya-Allah, Kerajaan Persekutuan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kebaikan para usahawan kita di luar sana.

  5. Yang Berhormat Papar bertanya berkaitan cadangan Majlis Pekerjaan Negara bagi mengatasi masalah pengangguran kesan dari pandemik COVID-19.

  6. Untuk makluman YB, seperti sedia maklum, Kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang melanda Malaysia sejak awal tahun 2020 di mana sektor perniagaan yang terkesan telah menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara. Penutupan ekonomi turut memberi impak terhadap kadar pengangguran yang telah melonjak naik kepada tahap yang tertinggi iaitu 5.3 peratus atau lapan ratus dua puluh enam ribu (826,000) penganggur pada bulan Mei 2020 yang merupakan kadar pengangguran yang tertinggi sejak krisis komoditi 1980-an.

  7. Justeru, Kerajaan melalui Belanjawan 2021 telah mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) dalam usaha untuk menyelaras pelbagai inisiatif merentas Kementerian dan Agensi dalam mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran dan memberi latihan kepada pekerja dengan menyasarkan 500 ribu peluang pekerjaan. Sebagai Sekretariat NEC, Agensi LAKSANA telah diberi mandat untuk memantau keberkesanan segala inisiatif di bawah NEC dalam memastikan penciptaan peluang pekerjaan terhadap kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

  8. Antara insiatif-inisiatif di bawah NEC yang telah memainkan peranan besar dalam penjanaan peluang pekerjaan adalah Program Penjana Kerjaya 2.0 oleh PERKESO yang menawarkan lebih 250 ribu peluang pekerjaan. Selain itu, Kerajaan juga telah menjalankan inisiatif MYSTEP atau Short-Term Employment Program yang menawarkan 50 ribu peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC. Pengambilan personel MySTEP sektor awam telah mencapai 100.6 peratus dari jumlah sasaran yang ditetapkan sebanyak tiga puluh lima ribu (35,000) menunjukkan komitmen penuh Kerajaan dalam mencipta peluang pekerjaan.

PENYALURAN BANTUAN

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Seterusnya, izinkan saya menjawab soalan YB Betong, YB Pasir Mas, YB Pontian, YB Sungai Petani, YB Lanang, YB Kubang Pasu dan YB Kota Samarahan berkaitan penyaluran bantuan. Untuk makluman Yang Berhormat, pendaftaran akaun bank penerima bantuan tunai Kerajaan terutamanya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tidak terhad kepada akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) sahaja. Hakikatnya, hampir8 juta penerima BPR mempunyai akaun bank mewakili hampir 94 peratus daripada jumlah penerima BPR. Manakala kira-kira 6 peratus atau hampir 500 ribu penerima BPR sahaja yang akan menggunakan BSN bagi tujuan penunaian.

  2. Selain daripada penerima hadir ke BSN, perkhidmatan Bank Bergerak telah dilancarkan pada bulan Julai 2021 di Sarawak dan pada penghujung September 2021 di Sabah. Bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendapatkan perkhidmatan perbankan, Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak 18 juta ringgit kepada bank tempatan bagi menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang bakal merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar. Melalui inisiatif ini, penerima bantuan tunai Kerajaan boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun, penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang, pembayaran bil serta perbankan digital.

  3. Bagi penerima bantuan tunai Kerajaan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai akaun bank, pelaksanaan pembayaran secara tunai juga dilaksanakan dan diselaraskan oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMSabah) dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMSarawak) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan BSN di samping sokongan daripada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak. Tempoh masa pelaksanaan adalah tertakluk kepada situasi kebolehjangkitan COVID-19 dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  4. Untuk makluman Yang Berhormat, hampir 20 ribu data penerima bantuan tunai yang tidak mempunyai akaun bank samada di Semenanjung, Sabah atau di pedalaman Sarawak bersama-sama dengan data penerima yang tidak mempunyai akaun bank seluruh Malaysia turut dimuat naik di dalam pangkalan data BSN untuk kemudahan penunaian masa akan datang mengikut masa yang sesuai bagi penerima berkenaan tanpa menantikan program penunaian dan Bank Bergerak untuk sampai ke tempat mereka. Ini menunjukkan Kerajaan sentiasa komited memastikan semua bantuan Kerajaan adalah berkesan dan menepati kumpulan sasar yang ditetapkan terutamanya golongan yang terjejas akibat COVID-19.

  5. Menerusi bantuan pihak Kerajaan Negeri, BSN telah menyediakan satu (1) unit Cawangan Bank Bergerak (CBB) di Sarawak yang dilengkapi dengan dua (2) kaunter dan satu (1) unit Terminal Layan Diri ATM. CBB BSN Sarawak telah ditetapkan untuk menyediakan perkhidmatan perbankan setiap minggu di Daerah Sungai Asap, Tatau, Nyalau, Kuala Tatau, Asajaya, Sadong Jaya, Padawan dan Sebauh. Selain itu, jika ada keperluan, CBB Sarawak turut akan digunakan untuk membantu pelaksanaan inisiatif Kerajaan yang lain contohnya seperti pembayaran tunai Bantuan Khas COVID-19 (BKC) di Bintulu.

  6. Untuk Negeri Sabah, pihak BSN kini sedang giat menguruskan penyediaan tiga (3) unit CBB dengan bantuan serta kerjasama Kementerian Kewangan. Walaupun kerja-kerja penyiapan kenderaan berkenaan turut terkesan akibat pendemik COVID-19, berdasarkan status kerja semasa, tiga (3) unit CBB tersebut dijadualkan untuk mula beroperasi di Sabah mulai 30 September 2021.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Selaras dengan agenda PEMULIH yang dibentangkan sebelum ini, peluasan inisiatif Bank Bergerak ke lebih banyak mukim seluruh negara juga telah mula dirancang. Dengan peruntukan RM18 juta yang disediakan, 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan disediakan bagi meneruskan agenda prihatin rakyat.

  2. Dengan 390 cawangan seluruh negara, BSN mempunyai rangkaian penyediaan perkhidmatan yang terbesar di kalangan institusi perbankan yang lain. 179 cawangan terletak di kawasan luar bandar (non-urban) di mana 21 cawangan berstatus cawangan sosial / mandat. Bagi memenuhi keperluan kewangan pelanggan, waktu operasi kaunter cawangan BSN telah dilanjutkan kepada 4.45 petang (Semenanjung Malaysia) dan 4.15 petang (Sabah dan Sarawak) walaupun secara amnya bank-bank lain masih beroperasi dalam waktu yang terhad. Sepanjang tempoh pembayaran wang bantuan daripada Kerajaan (BPR atau BKC), sekiranya terdapat keperluan, pihak BSN juga bersedia untuk membuka operasi kaunter cawangan pada hujung minggu bagi membantu penyaluran bantuan dengan lebih berkesan.

  3. Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, pembayaran BKC Fasa 1 baru-baru ini juga menyaksikan sejumlah 93% penerima bantuan daripada hampir 10 juta penerima disalurkan bantuan secara kredit terus ke akaun mereka di bank-bank yang terlibat. Inisiatif untuk mendapatkan nombor akaun dan menggalakkan pembukaan akaun di kalangan penerima bantuan ini akan diteruskan bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan.

  4. Pembayaran bantuan kerajaan yang dilaksanakan oleh BSN sememangnya melibatkan pengkreditan akaun-akaun penerima daripada Bank lain. Namun setakat ini, pembayaran secara tunai masih dimandatkan secara eksklusif kepada BSN berdasarkan rangkaian cawangan BSN yang meluas. Walau bagaimanapun, pertimbangan untuk melantik bank-bank lain sebagai ejen untuk pembayaran secara tunai boleh dipertimbangkan pada masa akan datang berdasarkan keperluan.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Berkaitan pembukaan bank di kawasan pedalaman, pada masa ini terdapat lebih daripada 4,600 ejen bank di seluruh Malaysia, dan kini hampir 95% (2011: 46%) daripada semua mukim mempunyai sekurang-kurangnya 1 pusat akses kewangan, termasuk ejen bank. Penggunaan ejen bank untuk melakukan transaksi kewangan juga adalah memberangsangkan dengan jumlah transaksi ejen bank mencatatkan kenaikan sebanyak 61% semenjak mula beroperasi pada tahun 2012 dan kini telah mencapai jumlah transaksi sebanyak RM18.5 bilion pada tahun 2020.

  2. Dari semasa ke semasa, institusi kewangan akan memantau tahap penggunaan perkhidmatan perbankan di ejen-ejen bank oleh penduduk setempat sebagai justifikasi bagi penambahan kemudahan perkhidmatan kewangan seperti ATM dan/atau pembukaan sesebuah cawangan bank.

BANTUAN RAKYAT

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Cadangan YB Pekan menaikkan had pengeluaran i-Citra ini perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh dengan mengambil kira semua bentuk bantuan yang telah dan akan disalurkan oleh Kerajaan kepada rakyat bagi membantu meringankan beban kewangan ahli yang terjejas dengan pandemik ini.

  2. Pertimbangan terhadap kenaikan had pengeluaran i-Citra perlu turut mengambil kira keperluan untuk mengimbangkan antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan untuk masa hadapan dengan keadaan negara dijangka akan mengalami penuaan penduduk pada 10 ke 15 tahun akan datang.

  3. Kementerian Kewangan mengambil maklum berhubung cadangan murni YB Pekan untuk memperkenalkan program pinjaman oleh pihak Bank sehingga RM4,000 kepada golongan B40 dan M40 sebagai usaha untuk menambah aliran tunai setiap isi rumah yang memerlukan.

  4. Suka saya maklumkan Ahli Yang Berhormat, bagi tujuan yang sama, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya termasuklah pemberian pelbagai bentuk bantuan tunai langsung seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 (BKC), dan Bantuan Kehilangan Pekerjaan dengan nilai jumlah keseluruhan peruntukan bagi tahun 2021 sebanyak 17.1 bilion ringgit. Daripada jumlah tersebut sebanyak 15.1 bilion ringgit telah disalurkan kepada akaun penerima.

  5. Bagi golongan peniaga kecil pula, Kerajaan telah melaksanakan pemberian Geran Khas Prihatin (GKP) bagi tahun 2021 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 3.6 bilion ringgit dan 2.6 bilion ringgit telahpun disalurkan kepada penerima.

  6. Di bawah Bajet 2022 yang akan dibentangkan kelak, Kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneruskan sebarang inisiatif sedia ada yang mampu untuk meminimumkan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat yang masih terkesan akibat dari pandemik COVID-19.

  7. Selain itu, Kerajaan juga sedar bahawa pemerkasaan perlindungan sosial untuk jangka masa sederhana adalah penting bagi menjamin kesejateraan pekerja dalam golongan B40 dan M40. Untuk itu, di bawah program Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh), KWSP juga sedang menerokai langkah-langkah untuk meningkatkan liputan dan kecukupan perlindungan sosial bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan serta kemampuan dalam memperbaiki taraf hidup mereka.

  8. Berhubung cadangan pinjaman berjaminan Kerajaan, Kementerian Kewangan bersedia untuk mendengar lebih lanjut cadangan ahli YB Pekan semasa sesi libat urus bersama-sama pemimpin Parti Politik yang akan diadakan pada masa terdekat ini.

MORATORIUM

Tuan Yang di-Pertua,

  1. YB Dungun telah menyarankan agar kadar faedah kad kredit 4-5 peratus diturunkan bagi pemegang kad kredit yang menghadapi kesukaran dalam membuat bayaran balik pinjaman boleh memohon untuk menukar baki pinjaman kad kredit mereka kepada fasiliti pinjaman bertempoh pada kadar pembiayaan yang lebih rendah, sama seperti tahun 2020.

  2. Bagi soalan YB Dungun berkaitan pemberian moratorium 3 hingga 5 bulan kepada golongan yang tidak layak moratorium, untuk makluman YB pakej PEMULIH yang ditawarkan sejak 7 Julai 2021, moratorium selama 6 bulan ini tersedia untuk semua peminjam individu dan PKS. Pemohon tidak perlu mengemukakan bukti kelayakan atau dokumen sokongan. Kelulusan pakej bantuan bayaran balik adalah automatik untuk pinjaman yang tidak mempunyai bayaran ansuran yang tertunggak melebihi 90 hari.

  3. Manakala, bagi pelanggan yang mempunyai pinjaman tertunggak melebihi 90 hari, mereka akan memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman yang lebih menyeluruh bagi mengelakkan mereka daripada jatuh muflis/bankrap dan bukannya bantuan bersifat sementara seperti moratorium.

  4. Sabagai makluman tambahan, pihak bank masih lagi boleh menawarkan bantuan dalam bentuk langkah pemulihan yang disesuaikan berdasarkan keadaan kewangan dan kemampuan bayaran balik oleh peminjam. Untuk peminjam yang menghadapi situasi yang lebih mencabar atau mereka yang mempunyai pinjaman di beberapa bank, mereka akan dirujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), yang merupakan saluran yang lebih sesuai untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat percuma bagi bayaran balik pinjaman. AKPK merupakan satu pusat untuk menyelaras dan menilai obligasi kewangan keseluruhan peminjam bagi memberikan nasihat kewangan yang sesuai, serta membantu menstruktur dan menjadualkan semula bayaran balik pinjaman berdasarkan kedudukan kewangan peminjam.

  5. Apa-apapun, peminjam yang menghadapi kesukaran semasa berurusan dengan pihak bank, atau permohonan bantuan bayaran balik pinjaman ditolak, mereka boleh menghubungi Bank Negara Malaysia secara terus melalui BNMTELELINK (bnm.gov.my/RA). Saya juga ingin memaklumkan bahawa jumlah aduan yang diterima melalui BNMTELELINK adalah pada kadar yang agak rendah sepanjang tempoh PEMULIH (Jun hingga Ogos 2021), iaitu 0.46 peratus daripada jumlah permohonan yang diluluskan.

  6. YB Port Dickson juga membangkitkan perkara berkaitan Moratorium iaitu mencadangkan kerajaan mengusahakan pengecualian bayaran faedah untuk Moratorium pinjaman bank bagi tempoh 3 bulan dalam suku tahun keempat. Untuk makluman YB, Kerajaan masih membincangkan perkara ini dengan institusi perbankan kerana ia melibatkan keputusan komersial di antara pihak bank, lembaga pengarah dan pemegang saham masing-masing.

  7. Suatu rumusan akan diusahakan (workable) dan setara (proportionate) dengan mengambil kira kesan jangka masa panjang terhadap peminjam, pendeposit, pelabur, institusi kewangan dan ekonomi negara. Kerajaan juga memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat dan akan mempertimbangkan pelbagai cadangan yang dikemukakan. 

BELANJAWAN

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Selanjutnya adalah perkara berkaitan isu belanjawan yang juga dibangkitkan oleh YB Port Dickson. 39.Kerajaan menyambut baik akan saranan Yang Berhormat Port Dickson mengenai tanggungjawab Kerajaan dan pembangkang untuk duduk berunding mengenai Bajet 2022 sebelum ianya dibentangkan di Parlimen. Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Kewangan buat pertama kalinya dalam sejarah negara telah mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Bajet 2022 pada 31 Ogos 2021 yang lalu. KPB diterbitkan bagi meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet tahunan, serta membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara, terutamanya dalam kalangan pelabur. KPB merupakan salah satu transformasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan dan bermatlamat menyediakan peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara.

  2. Melalui KPB yang diterbitkan, Kementerian Kewangan telah memberikan beberapa gambaran awal mengenai keutamaan dan matlamat dalam penyediaan Bajet 2022. Antara tumpuan yang akan diberikan antaranya adalah untuk melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian dan membina semula daya ketahanan negara. Inisiatif dan langkah Bajet 2022 yang dirangka akan berpaksikan kepada kedua-dua matlamat utama ini.

  3. Untuk Makluman ahli berhormat sekalian, susulan daripada Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah ditandatangani, pihak Kerajaan telahpun mula mengadakan sesi rundingan bersama dengan pihak pembangkang sebelum Bajet 2022 dibentangkan di Parlimen. Kerajaan komited untuk berbincang bersama pihak pembangkang untuk memastikan cadangan inisiatif dan langkah Bajet 2022 memberi keutamaan kepada kesihatan dan kebajikan rakyat, serta yang berkait dengan kelangsungan perniagaan. Di atas semangat kesepakatan bersama terutamanya dalam usaha untuk bangkit semula daripada kesan COVID-19 dan di atas keperihatinan Kerajaan dan pihak pembangkang untuk memulihkan semula negara, Kerajaan berharap agar Bajet 2022 yang akan dirunding kelak berjalan dengan lancar dan dapat dipersetujui secara bersama.

CUKAI

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Isu seterusnya adalah berkaitan isu percukaian yang telah menarik minat 4 orang Ahli Berhormat iaitu YB Pekan, YB Kuala Nerus, YB Pontian dan YB Muar.

  2. Sesungguhnya Kerajaan menyambut baik keprihatinan dan cadangan oleh Yang Berhormat, yang jelas memahami isu kekangan hasil yang diperlukan oleh Kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan COVID-19, khususnya untuk membantu sektor perniagaan dan rakyat yang terjejas dengan berkesan. Kerajaan turut mengambil maklum pandangan daripada pelbagai pihak berkaitan Windfall Tax atau levi keuntungan luar biasa.

  3. Kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah bagi meningkatkan hasil termasuk mengenakan cukai ke atas keuntungan hasil pelaburan saham dan pengenaan kadar cukai yang lebih tinggi secara ‘One-Off’ kepada syarikat-syarikat yang menjana keuntungan luar biasa dalam tempoh pandemik COVID-19. Hasil tambahan dari cukai ‘one-off’ tersebut akan digunakan untuk membiayai aktiviti atau program pemulihan khusus bagi membantu golongan sasar.

  4. Berkaitan syor untuk kerajaan mengenakan cukai kepada perniagaan tertentu yang menjana keuntungan berlipat ganda semasa pandemik COVID-19, Kerajaan juga perlu mengambil kira pandangan dan maklumbalas pelbagai pihak berkepentingan mengenai kesan pelaksanaan langkah cukai khas ini supaya ianya, tidak menjejaskan kedudukan ekonomi dan daya saing negara khususnya dalam usaha menarik pelaburan asing.*

  5. YB Pekan mencadangkan kerajaan untuk menjual sebahagian daripada saham syarikat Digital National Berhad (DNB) kepada syarikat penyedia tempatan bagi membantu dalam membiayai perbelanjaan membina infrastruktur 5G di Malaysia. Untuk makluman Yang Berhormat berdasarkan proses tender yang telah dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad, kos penyediaan infrastruktur 5G nasional yang ditetapkan untuk tempoh sepuluh (10) tahun akan datang adalah sebanyak RM11 bilion berbanding anggaran asal sebanyak RM15 bilion. Kos ini akan dibiayai sepenuhnya oleh DNB melalui sumber pembiayaan yang terdapat di pasaran serta pendapatan yang akan dijana oleh DNB tanpa melibatkan peruntukan daripada Kerajaan. Sehubungan itu, tidak timbul isu penjualan saham DNB kepada telco-telco tempatan bagi membantu membiayai perbelanjaan infrastruktur 5G.

  6. Seterusnya YB Tasek Gelugor ada mencadangkan supaya Kementerian Kewangan menyalurkan sekurang-kurangnya RM50 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Untuk makluman YB Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan isi rumah termiskin diberikan akses untuk mendapatkan pinjaman modal melalui institusi pembiayaan mikro antaranya seperti AIM. Sejak tahun 1998 hingga 2011, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan 8 perjanjian pinjaman tanpa faedah kepada AIM yang berjumlah RM956.50 juta sebagai dana untuk skim kemudahan pembiayaan AIM. AIM turut menerima geran daripada Kerajaan pada tahun 2010 hingga 2015 bagi melaksanakan pelbagai fungsi berjumlah RM377.24 juta menjadikan jumlah keseluruhan yang telah diterima oleh AIM daripada Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM1,235.21 juta. Setakat 31 Ogos 2021, baki pinjaman belum selesai AIM dengan Kerajaan adalah sebanyak RM612.2 juta.

  7. Selain itu, bagi menjamin kesinambungan aktiviti-aktiviti mikrokredit AIM masa hadapan dan melestarikan modal kewangan, Kerajaan juga telah meluluskan penstrukturan semula pinjaman AIM berjumlah RM359.8 juta dengan tempoh pertangguhan pembayaran anuiti selama dua (2) tahun bermula 31 Mac 2021. Jumlah moratorium sebanyak RM71.9 juta yang diberikan oleh Kerajaan dalam tempoh 2 tahun ini dianggarkan akan membantu lebih kurang 14,200 usahawan mikro B40 dengan nilai pinjaman minimum RM5,000 seorang di bawah skim Mikro Ikhtiar AIM.

PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua

  1. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas segala pandangan dan cadangan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat sekalian. Sebagai penutup kata izinkan saya mengakhiri penggulungan pada hari ini dengan serangkap pantun:

    Pohon Berangan Tempat Bertemu,
    Tidak Mengira Tua Dan Muda
    Marilah Kita Bersatu Padu,
    Membina Bangsa Keluarga Malaysia

Sekian, wasalam.