YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah ke Pasar D’Rejang, Setiawangsa, Kuala Lumpur untuk bertemu dengan komuniti peniaga kecil di sana bagi menguar-uarkan mengenai kepentingan program vaksinasi dalam memulihkan ekonomi negara.
Mesej beliau amat mudah kepada mereka. Jika kita inginkan keadaan perniagaan untuk kembali seperti biasa, vaksin adalah jawapannya. Dengan adanya imuniti kelompok, tidak akan wujud sekatan untuk semua aktiviti perniagaan. Namun ada yang masih belum mendaftar dan memikirkan mereka tidak perlu mendaftar. Sebab itulah, penting untuk turun padang dan bertemu secara fizikal, agar mesej dapat disampaikan dengan lebih jelas.
Beliau juga menasihati PKS mikro yang tidak lulus atau belum pernah mendaftar untuk segera memohon GKP3.0 yang kini dibuka sehingga 15 April 2021. InsyaAllah, 1.2 juta PKS mikro akan menerima manfaat daripada peruntukan sejumlah RM1.2 bilion ini.