Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kerajaan, menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, telah meluluskan sebanyak 38 permohonan Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) berjumlah RM302,000 selepas empat hari skim itu dilancarkan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata secara keseluruhan, sejumlah 894 permohonan TBRS telah diterima melibatkan peruntukan sebanyak RM8.7 juta.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk perniagaan mikro merupakan tunjang kepada ekonomi negara dengan sumbangan hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menjana lebih 70 peratus pekerjaan dalam negara.
“Kerajaan tetap komited memberi bantuan kepada golongan peniaga PKS amnya dan peniaga mikro khususnya,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan replika cek Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) di sini hari ini.
TBRS telah mula dibuka untuk permohonan mulai 13 Julai, menawarkan pembiayaan mikro sehingga RM10,000 dengan kadar faedah sebanyak 3.5 peratus setahun berbanding kadar konvensional yang biasanya antara 4.0 peratus dan 10 peratus.
Setiap pembiayaan akan diberi tempoh moratorium selama enam bulan. Seramai 10,000 usahawan mikro akan mendapat manfaat daripada skim berjumlah RM100 juta itu.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata sejumlah 25,587 permohonan bagi CBRM telah diterima setakat 14 Julai melibatkan peruntukan sebanyak RM195.3 juta.
Jumlah itu merangkumi 97 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM200 juta yang disediakan kerajaan untuk CBRM, katanya.
Menteri Kewangan berkata kerajaan mungkin perlu mengkaji semula dasar bagi pembiayaan PKS mikro yang merangkumi aspek-aspek seperti sokongan latihan, sokongan untuk maju ke peringkat global dan penerapan amalan mengurus perniagaan dengan baik.
Beliau juga berkata kajian semula terhadap dasar yang mampu meningkatkan akses PKS mikro kepada pembiayaan kewangan mungkin perlu dilakukan.
“Pembiayaan kewangan lazimnya berdasarkan profil kredit atau kedudukan kredit seseorang peminjam.
"Bagaimanapun, pelbagai inovasi telah diwujudkan di negara lain dari segi membantu kewangan PKS, seperti platform e-pinjaman, penggunaan data alternatif untuk menentukan kelayakan kredit, pelaksanaan ‘e-factoring’ dan pembiayaan rantaian bekalan," katanya.
Skim CBRM yang bernilai RM200 juta diperuntukkan oleh kerajaan kepada TEKUN Nasional di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi membantu 33,000 usahawan mikro yang terjejas berikutan COVID-19.