Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah membantu 32,349 orang menyelesaikan hutang mereka sepenuhnya berjumlah RM1.5 bilion melalui Program Pengurusan Hutang (DMP) sehingga 31 Jan, 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Azaddin Ngah Tasir berkata sejak penubuhannya pada 2006, agensi itu telah memperluas khidmat nasihat kewangannya kepada lebih 1.2 juta orang, dan daripada jumlah itu, 345,000 daripada mereka telah mendaftar dalam DMP.
“Daripada jumlah kes DMP, sebanyak 13.7 peratus atau kira-kira 45,000 merupakan golongan muda di bawah umur 30 tahun,” katanya pada majlis penyampaian hadiah dan penutup Kembara Bijak Wang AKPK-HSBC 2020 (KBW2020) hari ini.
Dilancarkan pada November tahun lepas, KBW2020 merupakan program kerjasama dengan HSBC Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan institusi pengajian tinggi lain untuk melibatkan pelajar pengajian tinggi dalam pendidikan kewangan melalui pelbagai aktiviti yang menarik.
Azaddin berkata kira-kira 60 peratus daripada peserta DMP mengakui bahawa mereka kurang pengetahuan kewangan yang menunjukkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata mandat AKPK diperluas untuk merangkumi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada September tahun lepas apabila Bank Negara Malaysia memindahkan fungsi skim penyelesaian hutang kecilnya ke AKPK.
Beliau berkata pada 2020 sahaja, AKPK telah membantu 33,356 individu untuk menyusun semula hutang mereka dan menempatkan mereka pada tahap yang lebih kukuh, memberi mereka hala tuju dalam menyusun pelan kewangan mereka.
Bagi PKS, dari September 2020 hingga Februari 2021, sebanyak 161 permohonan telah diluluskan oleh agensi untuk perkhidmatan penyusunan semula hutang dengan jumlah pinjaman sebanyak RM151.8 juta.