Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Aliran masuk dana asing ke pasaran bon Malaysia bukti keyakinan pasaran modal terhadap dasar negara – Tengku Zafrul

Aliran masuk dana asing ke pasaran bon Malaysia bukti keyakinan pasaran modal terhadap dasar negara – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Aliran masuk dana asing bersih terkumpul berjumlah RM18.3 bilion yang direkodkan pasaran bon Malaysia pada 2020 mencerminkan aktiviti pencarian hasil, yang sedikit sebanyak membuktikan keyakinan pasaran modal terhadap dasar dan hala tuju negara bagi tempoh beberapa bulan akan datang, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, walaupun Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas ke paras paling rendah pernah dicatatkan pada 1.75 peratus, namun masih ada ruang bagi bank pusat untuk mengambil tindakan, dari segi dasar monetari.

"Bank pusat di seluruh dunia menurunkan kadar faedah mereka, dan Malaysia juga tidak terkecuali. Bagaimanapun, pada masa yang sama, jualan bersih dana asing sebanyak RM24.6 bilion direkodkan dalam pasaran ekuiti kita pada 2020 dan ia (penjualan ekuiti) berlaku di semua negara, apabila mereka melaksanakan sekatan pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab dimudahcarakan oleh Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar pada Forum Bursa Malaysia bertemakan ‘Menang Bersama: Rebuilding Malaysia’s Economy Together’ yang disiarkan BernamaTV (Astro 502) pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata Malaysia bersama negara-negara lain termasuk Korea Selatan, Indonesia, Thailand dan Filipina mencatatkan aliran keluar asing yang besar, dan pada masa yang sama, memberi tekanan ke atas pasaran mata wang.

Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata kerajaan menyedari akan cabaran dan landskap yang sangat kompetitif lantaran pandemik COVID-19 yang menjejaskan rantaian global di seluruh dunia, terutamanya dalam usaha untuk menarik syarikat multinasional memindahkan operasi mereka ke negara ini.

"Satu daripada faktor utama untuk memutuskan di mana untuk melabur adalah dasar yang konsisten. Memutuskan untuk membuka dan menutup kilang dan pejabat tanpa garis panduan jelas hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif cukai dan pelaburan di bawah pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Belanjawan 2021, serta langkah-langkah untuk memastikan kelancaran proses bagi pelabur seperti penubuhan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) dan pelbagai platform dalam talian seperti i-Incentive.

"Hasil daripada langkah-langkah ini, keyakinan pelabur terhadap Malaysia boleh dilihat dari segi pelaburan diluluskan semasa tempoh sembilan bulan pertama 2020 yang berjumlah RM110 bilion, yang mana 40 peratus adalah FDI. Pelaburan ini melibatkan lebih 2,900 projek dengan hampir 65,000 peluang pekerjaan diwujudkan,” kata Tengku Zafrul.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan ia juga telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi dengan gabungan potensi nilai pelaburan hampir RM82 bilion daripada sektor elektrik dan elektronik, mesin dan logam, sains hayat dan teknologi perubatan, kimia dan bahan canggih, teknologi pengangkutan dan teknologi makanan dan industri berasaskan sumber.

"Projek-projek ini dijangka direalisasikan tahun ini dengan potensi kemasukan pelaburan bernilai kira-kira RM48 bilion sedang dinilai ketika ini. Apabila diluluskan kelak, ia dijangka dilaksanakan dalam tahun 2021 hingga 2020,” katanya.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility