Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Bajet 2022 bersifat inklusif, seimbang, menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat – Zafrul

Bajet 2022 bersifat inklusif, seimbang, menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat – Zafrul

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Bajet 2022 akan kekal bersifat inklusif, seimbang dan menyeluruh serta merangkumi kepentingan semua lapisan masyarakat, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, langkah-langkah utama di bawah Bajet 2022 yang akan dilaksanakan oleh kerajaan melalui tiga paksi iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan tanpa mengambil kira latar belakang rakyat.

“Usaha untuk memulih semula kehidupan dan perniagaan tetap mengutamakan keperluan rakyat secara keseluruhan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya ini termasuklah inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan peruntukan RM8.2 bilion yang bakal memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima Keluarga Malaysia dari masyarakat Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli dan semua yang memerlukan.

“Selanjutnya, inisiatif lain seperti Bantuan Awal Persekolahan dengan nilai RM150 untuk murid sekolah yang memerlukan, PerantiSiswa iaitu pemberian tablet untuk mahasiswa B40 dan e-Start dengan nilai RM150 untuk belia juga merupakan langkah-langkah memulih semula kehidupan dan meringankan beban kewangan buat manfaat Keluarga Malaysia,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata inisiatif ini termasuklah langkah-langkah memperkukuh dan meluaskan sistem perlindungan sosial yang turut memberi keutamaan buat semua rakyat yang memerlukan.

Mengenai membina daya tahan sektor perniagaan, beliau berkata inisiatif JaminKerja yang menyasarkan 600,000 peluang pekerjaan dengan nilai peruntukan RM4.8 bilion juga adalah untuk manfaat semua pencari kerja di Malaysia dan bukan hanya kepada Bumiputera.

“Begitu juga segala inisiatif skim pembiayaan perniagaan di bawah SemarakNiaga yang bernilai keseluruhan sebanyak RM40 bilion turut disediakan kepada semua usahawan mikro sehinggalah syarikat senaraian awam tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama,” katanya.

Beliau menjelaskan inisiatif semasa seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan ia hampir selari dengan peratusan populasi di Malaysia mengikut kaum.

”Berdasarkan data, 58 peratus daripada penerima BPR terdiri daripada kaum Melayu manakala kaum Cina dan India, masing-masing 19 peratus dan 8 peratus yang masih mengekalkan dasar semasa negara Agenda Pemerkasaan Bumiputera memandangkan prestasi sosio-ekonomi Bumiputera masih belum memuaskan,” katanya.

“Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih pada tahap 16.9 peratus pada 2018.

“Dari segi insiden kemiskinan mutlak, Bumiputera mempunyai kadar tertinggi iaitu 7.2 peratus berbanding masyarakat Cina 1.4 peratus dan India 4.8 peratus,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pendapatan penengah bulanan isi rumah Bumiputera pada 2019 adalah RM5,420 berbanding isi rumah masyarakat Cina sebanyak RM7,391 dan India RM5,981.

“Namun begitu, terdapat juga inisiatif khas bagi masyarakat India dan Cina mengikut keperluan mereka yang disediakan sebagai tambahan kepada inisiatif am yang lain,” katanya.

Di samping itu, katanya bantuan seperti skim kemudahan pembiayaan telah memberi manfaat yang luas kepada semua, misalnya Skim Kemudahan Bantuan Khas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan dana RM10 bilion telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 PKS dan lebih 80 peratus daripadanya bukan Bumiputera selaras dengan pemilikan PKS di Malaysia.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility