Bajet 2022: Peruntukan perbelanjaan pembangunan akan dipertingkatkan – Tengku Zafrul

Bajet 2022: Peruntukan perbelanjaan pembangunan akan dipertingkatkan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) bagi Bajet 2022 akan dipertingkatkan demi memacu aktiviti pemulihan sosioekonomi dan agenda pembangunan negara, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata fokus Bajet 2022 termasuk memulih dan membina semula daya ketahanan negara bagi menangani krisis pada masa depan antara lainnya dengan memperkukuhkan sistem kesihatan awam.

"Sehubungan itu, Bajet 2022 akan menyokong strategi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk meningkatkan kesiapsiagaan hospital negara serta kapasiti unit rawatan intensif (ICU) termasuk melalui usaha sama dengan penyedia kesihatan swasta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul menambah Bajet 2022 akan turut memberi fokus kepada membina daya tahan negara melalui konsep keterangkuman, terutamanya dari segi mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat dan jurang pembangunan terutamanya antara negeri.

Kerajaan memperuntukkan RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi Bajet 2021, lebih tinggi berbanding RM297 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 21.4 peratus atau RM69 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan.

Tengku Zafrul berkata untuk RMK12, peruntukan perbelanjaan pembangunan dianggarkan berjumlah RM400 bilion, peningkatan yang ketara berbanding RM248.5 bilion bagi RMK11.

Menurut menteri kewangan itu, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G, program JENDELA serta meningkatkan pengamalan digital terutamanya oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Beliau menambah, fokus RMK12 kepada pembangunan lestari juga akan diutamakan dalam Bajet 2022 ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih, contohnya melalui dasar menggalakkan kenderaan elektrik (EV).

"Seterusnya, dengan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), pendigitalan dan penggunaan teknologi akan menjadi keutamaan untuk meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

"Selain itu, dasar ini juga adalah seiring dengan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam jangka masa sederhana termasuk melalui pelaksanaan kerangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), dan juga inisiatif transformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di bawah program PERKUKUH Pelaburan Rakyat," katanya.

Tengku Zafrul berkata bagi memastikan ruang fiskal yang mencukupi untuk membiayai kesemua program pembangunan di bawah RMK12, kerajaan kekal komited terhadap langkah konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Fiskal Jangka Sederhana dan disokong Strategi Hasil Jangka Sederhana untuk meluaskan asas cukai serta meningkatkan kemampuan keberhutangan kerajaan.

Beliau berkata dalam jangka masa pendek, terdapat keperluan untuk meningkatkan had statutori hutang bagi menyediakan ruang fiskal tambahan dalam menyokong pembukaan sektor-sektor ekonomi dan memastikan pemulihan yang mampan.

"Walaupun ini akan meningkatkan sasaran defisit Malaysia yang dianggarkan meningkat kepada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada KDNK pada tahun 2021, kerajaan tetap komited untuk langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana," jelas beliau.

Selain itu, cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal juga akan membantu meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara, tambahnya.