Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Bajet 2022: RM332.1 bln bagi lonjakkan pertumbuhan, perkukuh pemulihan

Bajet 2022: RM332.1 bln bagi lonjakkan pertumbuhan, perkukuh pemulihan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia yang mengutamakan keterangkuman, kebersamaan dan tanda penghargaan, kerajaan mengumumkan peruntukan bernilai RM332.1 billion bagi 2022 yang merupakan satu lagi belanjawan tertinggi untuk memperkukuh pemulihan negara dengan kemakmuran perniagaan, di sebalik kekangan ruang fiskal, ketidakpastian global yang berterusan dan risiko peningkatan semula kes COVID-19.

Dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen pada Jumaat, Bajet 2022 itu mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Peruntukan bajet yang bersamaan dengan 20.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu hampir tiga peratus melebihi RM322.5 bilion yang diumumkan untuk Bajet 2021.

Semua ini mampu dilaksanakan dengan jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi tahun 2022 kepada RM234 billion.

Daripada jumlah berkenaan, RM233.5 bilion atau 70.3 peratus daripada keseluruhan Bajet akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus (OE) manakala RM75.6 bilion (22.8 peratus) untuk perbelanjaan pembangunan (DE) dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.

"Sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka," kata Tengku Zafrul semasa membentangkan Bajet 2022 bertemakan "Bajet 2022: Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera".

Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan terbesar, iaitu RM52.6 bilion (16 peratus) daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan persekutuan, manakala sebanyak RM32.4 billion akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

"Sebagai kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyatnya, peruntukan bagi sektor kesihatan adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan," jelas menteri kewangan.

Matlamat Bajet 2022 kekal dengan tiga fokus utama, iaitu rakyat yang sejahtera, perniagaan yang berdaya tahan serta ekonomi yang makmur dan mampan.

Tengku Zafrul menambah Bajet 2022 yang dijajarkan kepada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan selain rangsangan ekonomi sebelum ini juga ditambah baik serta dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah bajet yang inklusif, mampan dan seimbang.

Menyentuh isu cukai, Tengku Zafrul berkata kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off iaitu "cukai makmur" kepada syarikat yang menjana pendapatan bercukai tinggi, dengan RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022.

Kerajaan juga bercadang memberikan layanan cukai sama rata selaras dengan amalan di peringkat antarabangsa, antaranya termasuk kadar duti setem nota kontrak dinaikkan kepada 0.15 peratus daripada 0.1 peratus dan had setem RM200 setiap nota kontrak dimansuhkan.

Pada masa sama, beliau menambah aktiviti pembrokeran dagangan saham tersenarai tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan.

"Cukai pendapatan dikenakan kepada pemastautin di Malaysia ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan diterima di Malaysia mulai 1 Jan, 2022 serta penggunaan nombor pengenalan cukai (TIN) mulai 2022 bagi memperluaskan asas cukai pendapatan,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, untuk mengubahsuai fasiliti perniagaan supaya mematuhi keperluan prosedur operasi standard (SOP) seperti pengudaraan serta ruang duduk pelanggan dan pekerja, kerajaan bercadang melanjutkan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis sehingga RM300,000 sehingga 31 Dis, 2022.

Kerajaan juga akan melanjutkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Dis, 2022, serta meluaskan pelepasan cukai sehingga RM4,000 kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meliputi caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja sendiri dalam sektor gig.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata untuk meringankan kos sara hidup, KWSP akan melanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman minimum kepada sembilan peratus daripada 11 peratus sehingga Jun 2022, melibatkan anggaran RM2 bilion.

"Kerajaan juga akan meneruskan projek perumahan, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan tiada pendapatan tetap seperti pekerja gig, pengusaha kecil dan petani dengan nilai keseluruhan RM1.5 bilion," katanya.

Beliau menambah bagi mengurangkan kos pemilikan kenderaan, kerajaan akan melanjutkan 100 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus ke atas unit import sepenuhnya (CBU), termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) sehingga 30 Jun, 2022.

Tengku Zafrul juga berkata dalam membina daya tahan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), kerajaan bercadang memperuntukkan sekurang-kurangnya RM30 bilion untuk perbelanjaan modal dan pelaburan pada tahun 2022.

“Manakala bagi pelaburan pula, dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion disediakan bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional, khususnya yang dapat melengkapkan rantaian nilai industri dan memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan peluang pembangunan perusahaan kecil dan sederhana,” tambah menteri kewangan.

Selain itu, kerajaan akan menerbitkan Sukuk Kelestarian bernilai sehingga RM10 bilion untuk disalurkan kepada projek sosial atau mesra alam yang layak, katanya.

Dalam usaha merapatkan jurang ekonomi, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan menumpukan kepada usaha melaksanakan projek-projek utama negara supaya ia dapat memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat serta merapatkan jurang ekonomi antara lokaliti.

Manakala untuk memastikan usaha merangsang pemulihan ekonomi dipergiat, beliau berkata kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion, antaranya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Central Spine Road.

"Bagi merancakkan aktiviti pembangunan infrastruktur berimpak tinggi secara kerjasama awam dan swasta, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM200 juta menerusi pewujudan Dana Mudah Cara Infrastruktur Ketiga di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri," tambahnya.

Tengku Zafrul seterusnya berkata bajet ini turut memperuntukkan RM25 juta untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport baharu melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan.

“Dan untuk memenuhi keperluan kemahiran terutamanya oleh industri dengan aktiviti nilai tambah tinggi, RM80 juta akan disediakan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi melatih 20,000 pekerja yang menyokong kluster industri seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Subang, elektrik dan elektronik (E&E) di Kulim dan kimia di Gebeng,” katanya.

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility