Select your language
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Tanah terbiar milik Kerajaan Persekutuan dan tanah Rizab Melayu dicadang disewakan bagi projek pertanian atau perniagaan di bawah Bajet 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ini katanya sebagai antara usaha meningkatkan kawasan pertanian dan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan belia termasuk graduan menjana pendapatan.
“Melalui insiatif ini, tanah-tanah tersebut juga dapat diuruskan secara optimum dan teratur,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi, selain menarik lebih ramai generasi muda agropreneur, kerajaan akan terus memacu pemodenan sektor pertanian.
Di bawah Bajet 2022 juga, katanya pemberian subsidi dan insentif bagi industri perikanan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion antaranya RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak RM40 juta.
Katanya insentif hasil tangkapan nelayan turut disediakan berjumlah RM150 juta.
Manakala, bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM120 juta diperuntukkan yang akan disalurkan melalui empat insiatif.
Inisatif itu merangkumi Pelbagai Projek Jaminan Bekalan Makanan melibatkan antaranya Pembangunan Industri Akuakultur dan Estet Kerang-kerangan di Johor dan Program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara bagi menyediakan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan stok bekalan makanan serta hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk petani dan pengusaha agromakanan.
Selain itu, Program Bantuan Insentif Makanan Ternakan Ruminan Melalui Skim Harga Bersubsidi Dedak Isi Rong Sawit bagi membolehkan penternak kecil ruminan mendapatkan bekalan makanan ternakan dengan harga lebih rendah dan Program Galakan Usahawan Tekno PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman dan pemprosesan makanan melalui aplikasi teknologi yang akan memanfaatkan 140 usahawan tani.
Sebagai pelengkap untuk sektor pertanian dan perikanan, Tengku Zafrul berkata program pembiayaan sehingga RM1.25 bilion akan disediakan Agrobank dan Bank Negara Malaysia melalui antaranya AgroFood Facility berjumlah RM500 juta dan Dana Pembiayaan Agromakanan oleh Agrobank berjumlah RM200 juta.