Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

BAJET 2022: Tujuh inisiatif bernilai RM1.6 bilion bantu sektor pelancongan

BAJET 2022: Tujuh inisiatif bernilai RM1.6 bilion bantu sektor pelancongan

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Tujuh inisiatif utama dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion akan dilaksana tahun depan bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia merangkumi pelaksanaan Program Subsidi Upah bersasar khusus kepada pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Dengan peruntukan sebanyak RM600 juta, inisiatif ini bakal memanfaatkan lebih 26,000 majikan dan 330,000 pekerja,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini .

Selain itu, beliau berkata RM600 juta diperuntuk sebagai pembiayaan khusus bagi sektor pelancongan di bawah Skim Pemulihan BPMB dan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA, RM85 juta bagi bantuan khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk tempoh tiga bulan serta RM50 juta bagi penyelenggaraan infrastruktur pelancongan termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad di sini dan Lembah Bujang di Kedah.

Tengku Zafrul berkata RM30 juta pula diperuntuk bagi pemberian geran padanan bagi tujuan pembaikan sejumlah 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah MOTAC serta geran pembaikan kepada pemilik inap desa berdaftar, RM50 juta bagi pemberian geran padanan kepada syarikat menganjurkan program berkaitan seni dan budaya selain RM60 juta sebagai dana galakan untuk tujuan aktiviti promosi dan pelancongan domestik.

Tengku Zafrul juga berkata pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 dilanjutkan hingga tahun taksiran 2022.

Beliau berkata kerajaan akan menggiatkan lagi usaha pemulihan industri pelancongan kesihatan antarabangsa dengan kadar segera bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan dengan peruntukan RM20 juta kepada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia.

“Selanjutnya, kerajaan bercadang untuk melanjutkan beberapa galakan cukai termasuk pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa sehingga tahun taksiran 2025,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata pengecualian duti ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan dan pengecualian cukai pelancongan dilanjutkan hingga 31 Dis 2022.

Beliau turut menyarankan pihak kerajaan negeri agar memberi pengecualian duti hiburan bagi menyokong pemulihan sektor itu.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility