Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Belanjawan 2021 Lulus Peringkat Dasar Bukti Kerajaan Dengar Suara Rakyat, Ahli Parlimen

Belanjawan 2021 Lulus Peringkat Dasar Bukti Kerajaan Dengar Suara Rakyat, Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 26 November lepas, membuktikan kerajaan telah mendengar suara rakyat dan ahli Parlimen dalam merangka belanjawan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ini juga merupakan satu langkah ke arah kestabilan politik negara dan memberi keyakinan kepada para pelabur dan perniagaan.

Menurutnya, pengumuman dan komitmen tambahan Belanjawan 2021 itu adalah cadangan rakyat dan ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai latar belakang politik yang disahut oleh kerajaan sebagai komitmen untuk melindungi rakyat, perniagaan dan ekonomi negara.

Malah, beliau menegaskan walaupun terdapat kekangan dan pertembungan kepentingan bagi melaksanakan cadangan itu, kerajaan sebaliknya tidak akan berkompromi dalam mengutamakan kebajikan rakyat.

“Memang terdapat sedikit kekangan melaksanakan kesemua cadangan yang dibangkitkan, seiring dengan peranan dan tanggung jawab kerajaan untuk mengimbangi kepentingan-kepentingan jangka masa pendek dan panjang.

"Ini termasuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya tanpa melupakan tanggung jawab amalan disiplin fiskal yang baik bagi kemampanan ekonomi negara jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-31 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jalan Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas inisiatif pembiayaan perusahaan kecil sederhana (PKS) PENJANA, Tengku Zafrul berkata kerajaan memperuntukkan dana RM2 bilion dengan keutamaan untuk usahawan yang belum mendapat pinjaman bank sebelum ini.

“Sehingga 20 Nov, 2020, sebanyak 5,104 permohonan dengan nilai pinjaman sebanyak RM1.056 bilion telah diluluskan berbanding 4,937 permohonan dengan nilai pinjaman RM1.033 billion pada minggu lepas,” katanya.

Bagi tempoh sama, pembiayaan sektor pelancongan PENJANA menyaksikan sebanyak 492 permohonan PKS dengan 217 daripadanya telah diluluskan membabitkan pembiayaan berjumlah RM43.7 juta.

Selain itu, sebanyak RM90.6 juta telah disalurkan di bawah Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) yang memberi manfaat kepada seramai 13,675 PKS mikro, katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Bank Simpanan Nasional (BSN) pula telah menyalurkan sejumlah RM211.3 juta pembiayaan mikro kredit PENJANA berbanding RM197.7 juta minggu lepas bagi manfaat seramai 5,986 PKS mikro sehingga 20 Nov, 2020,

Beliau berkata bagi industri pertanian, kerajaan memberi pengecualian duti eksport sehingga 100 peratus ke atas industri berasaskan minyak sawit yang secara langsung membantu memudahkan para pekebun kecil menjual hasil keluaran mereka kepada kilang-kilang.

“Malah, setakat 20 November lepas, nilai pengecualian duti eksport yang berjaya dimanfaatkan oleh industri negara ialah sebanyak RM325.2 juta berbanding RM301.1 juta minggu lalu,” katanya.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility