Pilih bahasa anda

KUALA LUMPUR, 6 Nov - Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini, dilihat mampu menjadi pemangkin ekonomi negara dan membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata dengan peruntukan RM300 juta untuk pelaksanaan pas perjalanan tanpa had RM30 sebulan untuk orang awam, dan insentif baharu pas perjalanan RM5 sebulan untuk pelajar sekolah, misalnya dapat meringankan beban kewangan pengguna dan ibu bapa dalam situasi mencabar ini.
“Penyediaan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan yang terlibat dalam sektor penerbangan (yang paling teruk terjejas pula), akan memberi peluang pekerjaan baharu bagi mereka demi memastikan masa depan yang lebih terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wee berkata program pembangunan sistem pengangkutan awam seperti pelaksanaan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) dari Johor Bahru, Johor ke Woodlands, Singapura, MRT3 (Transit Aliran Massa) di Lembah Kelang dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, juga mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan negara.
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata pihaknya akan memanfaatkan peruntukan RM778 juta yang diumumkan dalam belanjawan tersebut, bagi mempertahankan kepentingan Malaysia di persada antarabangsa, serta menjayakan perancangan kerajaan berkaitan pandemik COVID-19.
Hishammuddin berkata peruntukan diberikan untuk kementeriannya juga akan dimanfaatkan bagi mengukuhkan peranan Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara dan membela kebajikan warga Wisma Putra di seluruh dunia.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menyifatkan belanjawan tersebut bersifat komprehensif dan memberi penekanan serius terhadap pembangunan belia dan sukan.
Reezal Merican berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil kira pandangan kementeriannya dan memuji bahawa belanjawan itu, memberi perhatian wajar dalam usaha membangun dan memulihkan semula ekosistem sukan pasca COVID-19.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, belanjawan tersebut menyaksikan komitmen kerajaan dalam meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah, termasuk Pakej Serusop ke Pituru yang merupakan 'missing link' sepanjang 21 kilometer.
“Belanjawan itu juga memberi galakan kepada penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan selaras dengan aspirasi kementeriannya untuk 'Mendigitalkan Sektor Pembinaan Negara' bermula 2021.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata peruntukan yang disalurkan kepada sektor kesihatan dijangka dapat membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membangun dan mengembangkan sektor kesihatan awam dan perawatan primer, terutama dalam memerangi COVID-19.
Beliau berkata peruntukan berjumlah RM31.94 bilion itu juga, merupakan satu kerangka jangka masa panjang KKM untuk meningkatkan amalan gaya hidup sihat, dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah memberikan RM1.8 bilion pada tahun 2020, dalam usaha menangani COVID-19 dan memperuntukkan RM1 bilion lagi pada 2021 untuk kita tingkatkan saringan dan juga kesihatan awam, dengan membekalkan kit-kit saringan dan reagen.
“Kita juga dapat memastikan kelangsungan program perubatan kita, dengan mempertingkatkan jumlah tempat dan bangunan yang perlu disaring, untuk menyaring awal pesakit bagi menetapkan sama ada mereka mempunyai COVID-19 atau tidak,” katanya.
Beliau juga bersyukur dengan pembayaran elaun RM600 sebulan kepada barisan hadapan sehingga pandemik tamat bagi mengiktiraf perjuangan mereka.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, Belanjawan 2021 memberi suntikan keyakinan kepada sektor pekerjaan negara yang terjejas dengan COVID-19, termasuk pengenalan program Subsidi Upah yang dilanjutkan tiga bulan lagi, bagi membantu syarikat meneruskan operasi dan mengelak kakitangan kehilangan pekerjaan.
“Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi program ini dan ia memberi keyakinan kepada warga kerja bahawa peluang pekerjaan mereka berterusan,” katanya sambil menambah program berkenaan telah membantu 2.7 juta pekerja dan lebih 330,000 majikan sehingga 31 Okt lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, selain dapat membantu golongan sasar di bawah kementerian, Belanjawan 2021 juga didapati mesra wanita dan mampu memelihara golongan lemah, termasuk program khusus untuk wanita Bumiputera.
“Selain itu, program bimbingan terutama dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe,” katanya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, belanjawan itu secara tidak langsung membolehkan lebih ramai pihak menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan, seni dan budaya, serta merancang strategi lebih mampan dan berdaya saing dalam merancakkan kembali industri tersebut.
“Kementerian yakin kesungguhan kerajaan dalam memastikan Matlamat Kedua, iaitu Kelangsungan perniagaan menerusi Strategi Kedua dalam memperkukuhkan sektor sektor tumpuan, khasnya kelangsungan industri pelancongan menjadi suntikan semangat kepada semua yang terlibat, dalam pertumbuhan sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini,” katanya.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memuji belanjawan yang dilihat memberi penekanan signifikan kepada aspek menjamin kelestarian alam sekitar dan air negara.
“Peruntukan sebanyak RM40 juta dalam lima tahun, akan digunakan sebaiknya untuk meningkatkan aspek pemantauan bagi memastikan penjenayah alam sekitar dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pula menzahirkan terima kasih atas pertimbangan menaikkan kadar elaun RM6 kepada RM8 sejam untuk lebih 1,900 Pegawai Bomba Bantuan bermula tahun depan.
“Berteraskan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, saya melihat Belanjawan 2021 yang dibentangkan ini, khususnya untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan belanjawan yang bersifat inklusif, komprehensif serta berpaksikan kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah akan mengoptimumkan peruntukan yang diberikan bagi melaksanakan pelbagai program pada tahun hadapan, dalam usaha memastikan kemampanan industri bekalan elektrik dan tadbir urus sumber asli, untuk kesejahteraan negara.
“Kementerian akan terus komited dalam mengurus bekalan elektrik secara strategik dengan mengoptimumkan tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga, bagi menjamin perkhidmatan bekalan elektrik yang berdaya harap, mampu bayar dan lestari,” katanya.
-- BERNAMA