Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 6 Nov - Sebanyak RM1 bilion dana disediakan kerajaan sebagai pakej galakan pelaburan berteknologi tinggi dan nilai tambah tinggi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Berucap pada pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini, beliau berkata dana tersebut antaranya bertujuan menyokong pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang aeroangkasa serta kluster elektronik di kawasan perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.
Sebagai tambahan, beliau berkata Dana Teknologi Tinggi bernilai RM500 juta akan disediakan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyokong syarikat teknologi tinggi dan berinovasi.
“Penyediaan dana ini akan membolehkan Malaysia kekal kompetitif dalam rantaian nilai global serta memelihara ekosistem rantaian bekalan dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan beberapa inisiatif akan dilaksana selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi aktiviti perkhidmatan bernilai tinggi termasuk melonggarkan syarat galakan cukai untuk Hab Prinsipal dan melanjutkannya sehingga 31 Disember, 2022.
Inisiatif lain adalah pengenaan kadar cukai bagi penubuhan Global Trading Centre pada kadar konsesi 10 peratus bagi tempoh lima tahun dan boleh diperbaharui bagi tempoh lima tahun lagi serta menaikkan had jualan bagi aktiviti tambah nilai dan aktiviti tambahan yang dijalankan di Zon Perindustrian Bebas dan Gudang Pengilangan Berlesen daripada 10 peratus kepada 40 peratus daripada nilai tahunan.
Tambahnya, kerajaan juga melanjutkan layanan kadar cukai pendapatan istimewa pada kadar rata 15 peratus untuk tempoh lima tahun kepada individu bukan warganegara yang memegang jawatan utama bagi pelaburan baharu strategik oleh syarikat yang memindahkan operasi ke Malaysia.
-- BERNAMA