Pilih bahasa anda
PUTRAJAYA, 1 Nov - Sesi rundingan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai Belanjawan 2021 di Kementerian Kewangan di sini hari ini berjalan dalam suasana yang baik dan berterus-terang.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata rundingan itu dilaksanakan dengan niat yang baik demi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya ahli Dewan Rakyat memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 Nov ini.
"Penting bagi kerajaan dan pembangkang bersama untuk menghasilkan belanjawan yang khusus untuk membantu rakyat Malaysia mengatasi dan bertahan dalam kegawatan COVID-19," katanya kepada pemberita selepas rundingan itu.
Turut serta dalam pertemuan kira-kira dua jam itu ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta sembilan lagi wakil PH.
Saifuddin Nasution berkata PH mengetengahkan enam cadangan utama kepada Tengku Zafrul untuk dipertimbangkan antaranya meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan bagi menangani COVID-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan pelanjutan moratorium sehingga 31 Mac 2021.
Turut dicadangkan ialah langkah memperkasakan perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko serta penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 selain meneruskan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan.
Beliau berkata PH turut mengesyorkan peningkatan perbelanjaan pendidikan serta menyediakan perbelanjaan pembangunan untuk projek berkaitan pelan gentian optik dan kesalinghubungan selain menaik taraf insfrastruktur air Selangor, Kelantan dan Pahang.
"Kami berharap cadangan ini dapat diterima dan dimasukkan oleh Menteri Kewangan ke dalam Belanjawan 2021. Kami menunggu langkah dan respons berikutnya daripada kerajaan dalam proses rundingan ini," katanya.
Lim pula berkata Belanjawan 2021 amat bersejarah dan kritikal untuk merangka masa depan ekonomi negara sama ada boleh diselamatkan atau tidak.
"Oleh itu, harus tambah perbelanjaan, kalau sumber wang tidak cukup harus pinjam, tidak ada pilihan lain kerana keadaan ekonomi begitu teruk," katanya.
Mohamad pula berkata Belanjawan 2021 harus dilaksanakan dengan berkesan supaya dapat mencapai matlamatnya selain mengelak ketirisan.
Terdahulu, Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil parti politik UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengenai Belanjawan 2021.
-- BERNAMA