Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 6 Nov - Sebanyak RM1.7 bilion akan diperuntukkan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan dalam Belanjawan 2021 ketika negara berhadapan berhadapan pandemik COVID-19, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Tengku Zafrul berkata subsidi itu antara lain membabitkan sebanyak RM570 juta untuk harga padi dan RM960 juta untuk insentif tanaman padi termasuk subsidi baja padi bukit sebanyak RM40 juta yang dijangka dapat memanfaatkan lebih 300,000 pesawah di seluruh negara.
Bagi membantu pekebun kecil getah dalam keadaan harga pasaran rendah, Tengku Zafrul berkata peruntukan bagi Insentif Pengeluaran Getah akan ditingkatkan sekali ganda daripada RM150 juta kepada RM300 juta sekali gus pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian dapat distabilkan.
Tengku Zafrul berkata selain itu, elaun sara hidup nelayan juga akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 bermula tahun depan, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada September lepas.
Katanya, peruntukan sebanyak RM151 juta ini akan memanfaatkan lebih 40,000 nelayan.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi membantu peneroka FELDA, sebanyak RM400 juta akan diperuntukkan untuk menghapus faedah hutang kebun peneroka dan menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu.
Tengku Zafrul berkata kerajaan juga turut merancang beberapa inisiatif utama bagi memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan antaranya Peluasan Program Kebun Komuniti dengan peruntukan RM30 juta bagi menyediakan kit fertigasi dan media tanaman bernilai RM500 setiap individu atau RM50,000 setiap komuniti yang bakal memanfaatkan 60,000 peserta.
Inisiatif lain katanya adalah pelaksanaan Projek Pertanian Organik di peringkat komuniti dengan peruntukan RM50 juta yang dijangka memanfaatkan 1,000 komuniti.
Menteri kewangan itu turut menyatakan, inisiatif lain adalah pelaksanaan Program Ladang e-Satelit membabitkan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga RM30,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi tujuan pembelian peralatan pertanian berdasarkan Internet benda termasuk dron.
Menurutnya, kerajaan juga turut menyediakan pembiayaan di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan sehingga RM5 juta pada kadar 3.5 peratus kepada nelayan zon A dan B untuk menaik taraf peralatan, pukat dan bot.
Tengku Zafrul berkata sebanyak RM60 juta disediakan Agrobank untuk pembiayaan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan sehingga RM1 juta pada kadar 3.5 peratus untuk tempoh 10 tahun kepada pengusaha pertanian bagi perolehan peralatan dan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Beliau berkata Program Pengembangan Akuakultur turut dilaksanakan dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga RM20,000 kepada pengusaha mikro untuk membeli peralatan bagi mengembangkan ternakan akuakultur bernilai tinggi seperti udang kara dan ikan kerapu.
Selain itu, projek pertanian dan penternakan berimpak dan bernilai tinggi juga dirancang membabitkan peruntukan RM100 juta melalui kerjasama dengan kerajaan negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan ternakan udang galah di Negeri Sembilan.
-- BERNAMA