KUALA LUMPUR, 6 Nov - Berikut ialah intipati ekonomi Belanjawan 2021 bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen hari ini.
Belanjawan 2021 dirangka berdasarkan Tiga Matlamat Induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Ekonomi dan Ketahanan Ekonomi
Kerajaan bercadang menaikkan siling Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM20 bilion kepada RM65 billion untuk membiayai pakej bantuan tambahan KITA PRIHATIN
Sejumlah RM1 bilion akan diperuntukkan lagi tahun hadapan untuk membendung gelombang ketiga COVID-19
Had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius dinaikkan kepada RM8,000 daripada RM6,000
Bantuan RM1,200 diberi kepada isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak
Cukai pendapatan individu diturunkan sebanyak satu mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000
Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus mulai Januari 2021
Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan
Keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan RM4 bilion
Kerajaan menyediakan hampir RM28 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif
KWSP membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 untuk pembelian produk perlindungan insurans dan takaful hayat serta penyakit kritikal
Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 ke atas caruman Skim Persaraan Swasta dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025
Kerajaan menyediakan sejumlah RM4.6 billion bagi memperkasa Bumiputera
Peruntukan RM510 juta bagi tujuan pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN Nasional dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)
Kerajaan menyediakan RM800 juta menerusi program peningkatan keupayaan Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas untuk memperkasa usahawan wanita.
Program bimbingan kepada lebih 2,000 usahawan wanita akan disalurkan melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizMe).
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM500 juta pada 2021 untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat pindah milik dan perjanjian rumah bagi pinjaman pembelian kediaman rumah pertama bernilai sehingga RM500,000.
Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan selama lima tahun lagi.
RM1 bilion disediakan sebagai pakej galakan pelaburan berteknologi dan nilai tambah tinggi.
Dana teknologi tinggi bernilai RM500 juta akan disediakan oleh Bank Negara Malaysia bagi menyokong syarikat sektor teknologi tinggi dan berinovasi.
Melonggarkan syarat galakan cukai bagi hab Prinsipal dan melanjutkannya sehingga 31 Disember 2022.
Pengenaan kadar cukai bagi penubuhan 'global trading centre' (pusat perdagangan global) pada kadar konsesi 10 peratus bagi tempoh lima tahun.
Menaikkan had nilai jualan bagi aktiviti tambah nilai dan aktiviti tambahan yang dijalankan di Zon Perindustrian Bebas dan gudang pengilangan berlesen daripada 10 peratus kepada 40 peratus daripada nilai jualan.
Kadar cukai istimewa kepada syarikat pengilang terpilih untuk memindahkan perniagaan ke Malaysia dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022.
Skim Pembangunan Nasional bernilai RM1.4 bilion oleh Bank Pembangunan Malaysia diperkenalkan bagi menyokong pelaksanaan pembangunan rantaian bekalan domestik.
Skim pembangunan maritim, logistik, skim pembiayaan pembangunan mampan, skim infrastruktur pelancongan dan dana pengangkutan awam akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023 dengan dana sebanyak RM3.3 bilion.
Kemudahan bantuan pemulihan bersasar bernilai RM2 bilion di bawah Bank Negara Malaysia akan diperkenalkan melalui pinjaman daripada institusi perbankan.
RM100 juta daripada langganan sukuk PRIHATIN untuk menjalankan penyelidikan penyakit berjangkit merangkumi pembangunan vaksin serta kajian rawatan dan diagnostik.
RM20 juta telah diperuntukkan untuk meneruskan program pemilikan sijil minyak sawit mampan bagi merancakkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing industri sawit.
Geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi.
Kerajaan akan meningkatkan jaminan sehingga RM10 bilion di bawah syarikat jaminan pembiayaan perniagaan dengan peruntukan RM2 bilion khusus untuk usahawan Bumiputera.
RM3 bilion dikhususkan untuk syarikat berkemahiran tinggi seperti minyak dan gas serta aeroangkasa.
Belanjawan 2021 dijajarkan kepada keutamaan dasar Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Jumlah perbelanjaan keseluruhan 2020 dianggarkan sebanyak RM314.7 bilion, meningkat RM17.7 bilion berbanding unjuran asal.
Defisit fiskal bagi 2020 dianggarkan meningkat kepada 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding sasaran asal 3.2 peratus.
Kutipan hasil kerajaan bagi 2021 dijangka meningkat kepada RM236.9 bilion.
Belanjawan 2021 merupakan belanjawan yang bersifat mengembang.
Perbelanjaan bagi 2021 merupakan perbelanjaan terbesar dalam sejarah dengan nilai sebanyak RM322.5 bilion.
Kerajaan memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion bagi simpanan luar jangka.
RM50 juta diberikan sebagai akses pembiayaan kepada kontraktor pembinaan di bawah skim pembiayaan kontrak ekspres.
RM15 bilion disediakan bagi membiayai antaranya Lebuhraya Pan Borneo, Landasan berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru dan Landasan Berkembar Lembah Klang (Fasa Pertama).
Projek lain akan diteruskan seperti Sistem Transit Rapid dari Johor Bharu ke Woodlands, Singapura dan Laluan 3 Transit Aliran Massa (MRT3) di Lembah Klang.
Kerajaan akan meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dijangka dapat menjana kesan pengganda kepada ekonomi negara.
Kerajaan akan menerbitkan Bon Kelestarian pertama negara bagi tujuan alam sekitar dan sosial pada 2021.
Pengecualian cukai pendapatan sedia ada bagi geran Sukuk Hijau Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab diperluas kepada semua jenis sukuk dan bon.
Pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 2025.
Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 3.0 diteruskan dengan saiz dana RM2 bilion selama dua tahun sehingga 2022.