Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 6 Nov - Kerajaan akan memberikan galakan kadar cukai pendapatan antaranya 0 hingga 10 peratus bagi 10 tahun pertama dalam usaha menggalakkan syarikat pengeluar produk farmaseutikal untuk melabur.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika berucap pada pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini berkata ini bagi memastikan Malaysia menjadi tumpuan pelaburan terutamanya dalam pengeluaran vaksin, ubat dan peranti perubatan dalam negara.
“Kerajaan akan memperkasa program perjanjian ‘off-take’ Kementerian Kesihatan untuk menarik pelabur ke negara ini dan potensi pengeluaran ubat dan vaksin pada hadapan,” katanya.
Menurut lampiran dalam belanjawan yang dibentangkan bagi menggalakkan syarikat pengeluar farmaseutikal termaksuk vaksin COVID-19, dicadangkan kadar cukai pendapatan 10 peratus juga diberikan untuk 10 tahun berikutnya.
“Selain daripada galakan cukai di atas, pelaburan strategik oleh syarikat berkenaan boleh dipertimbangkan lain-lain kemudahan termasuk geran, pengecualian duti import dan cukai jualan bagi mesin dan peralatan serta bahan mentah.
“Ini bagi permohonan yang diterima oleh Lembaga Pelaburan Malaysia mulai 7 November hingga 31 Disember 2022,” katanya.
Selain itu, Zafrul juga berkata kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta daripada langganan sukuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit berjangkit merangkumi pembangunan vaksin serta kajian rawatan diagnostik.
“Selain itu, empat syarikat sarung tangan utama iaitu Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan telah menyatakan komitmen untuk menyumbang RM400 juta untuk memerangi COVID-19 termasuk menampung sebahagian kos vaksin COVID-19 dan kos perbelanjaan peralatan kesihatan,” katanya.
Belanjawan yang dibentangkan hari ini, bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” menyaksikan kerajaan memperuntukkan RM322.5 bilion bagi perbelanjaan tahun 2021.
-- BERNAMA