Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Bernama - Kerajaan Teruskan Sesi Libat Urus Dengan Institusi Perbankan - Tengku Zafrul

Bernama - Kerajaan Teruskan Sesi Libat Urus Dengan Institusi Perbankan - Tengku Zafrul

 

KUALA LUMPUR, 26 Nov - Kerajaan komited untuk terus mengadakan sesi libat urus bersama institusi perbankan bagi memastikan ketersediaan mereka membantu rakyat serta perniagaan jika keadaan ekonomi kian mencabar.

Ketika memberi jaminan itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan telah mengumumkan lanjutan moratorium secara bersasar kepada golongan B40 dan peniaga kecil yang mana mereka hanya perlu menghubungi pihak bank bagi memohon lanjutan tersebut.

"Prinsip utama di sini adalah tanggung jawab dan keadilan. Adakah adil mereka yang kaya dan lebih daripada mampu membayar hutang itu diberikan moratorium?

 "Bukankah lebih baik jika mereka (terus) membayar hutang supaya duit ini dapat masuk ke dalam sistem  perbankan untuk menjana lebih banyak pinjaman khususnya kepada perniagaan dan industri yang menampung serta mewujudkan pekerjaan untuk rakyat?

“Inilah antara sebabnya mereka yang mampu, wajar membayar balik pinjaman mereka," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata Malaysia, menerusi  Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), turut menjadi negara pertama di dunia dari segi institusi perbankannya telah memberi kemudahan moratorium automatik kepada semua peminjam bank yang dianggarkan bernilai hampir RM100 bilion selama enam bulan.

Malah, kata beliau, setelah moratorium automatik itu tamat, Bank Negara Malaysia (BNM) bersama institusi perbankan bertindak melanjutkan program moratorium secara bersasar dan bantuan bayaran balik pinjaman bermula Oktober 2020. 

"Lebih 700,000 permohonan telah diterima dan daripada jumlah itu sebanyak 98 peratus peminjam telah menerima bantuan moratorium itu," katanya.

Menurut BNM, pada Oktober lepas, sekitar 85 peratus peminjam bank telah menyambung semula bayaran balik pinjaman mereka.

-- BERNAMA

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility