Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Bernama - Lebihan Akaun Semasa Dijangka Rendah Pada 2021

Bernama - Lebihan Akaun Semasa Dijangka Rendah Pada 2021

 

KUALA LUMPUR, 6 Nov - Lebihan akaun semasa dijangka lebih rendah sebanyak RM20.3 bilion atau sebanyak 1.3 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2021 selari dengan pengembangan dalam aktiviti perindustrian serta pelaburan domestik.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata akaun barangan diunjur mencatat lebihan RM113.3 bilion, disokong oleh pemulihan secara berperingkat dalam aktiviti perdagangan global. 

Defisit akaun perkhidmatan pula dijangka mengecil kepada RM30.9 bilion selaras dengan lebihan akaun perjalanan, katanya.

"Akaun perjalanan dijangka bertambah baik berikutan aktiviti pelancongan yang beransur pulih," kata Kementerian Kewangan di dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan Kementerian Kewanagn hari ini.

Laporan tersebut dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Terimaan akaun perjalanan diunjur meningkat kepada RM53.5 bilion didorong oleh peningkatan ketibaan pelancong serta perbelanjaan per kapita yang melebihi perbelanjaan residen berkunjung ke luar negeri untuk tujuan percutian, perniagaan dan keagamaan, katanya.

MoF berkata bayaran kasar bagi perkhidmatan pengangkutan dijangka meningkat kepada RM52.5 bilion disebabkan oleh kebergantungan berterusan terhadap perkhidmatan pengangkutan asing selain daripada pengembangan dalam aktiviti perdagangan.

Terimaan kasar juga dijangka meningkat kepada RM20.3 bilion disokong oleh peningkatan pendapatan perjalanan udara serta pengendalian kargo dan perkhidmatan penghantaran yang disediakan oleh syarikat domestik, katanya.

MoF berkata akaun perkhidmatan lain dijangka mencatat defisit yang lebih tinggi selaras dengan peningkatan pembayaran berikutan perkembangan dalam sektor pembuatan dan pembinaan.

Sementara itu, akaun pendapatan primer mencatat defisit yang lebih tinggi sebanyak RM41.6 bilion berikutan peningkatan dalam aktiviti pelaburan, sejajar dengan penghantaran balik keuntungan dan dividen oleh pelabur asing serta aliran keluar bersih bagi pampasan profesional asing yang dijangka lebih tinggi. 

Aliran keluar bersih dalam akaun pendapatan sekunder diunjur meningkat kepada RM20.6 bilion selaras dengan kiriman wang oleh pekerja asing melebihi aliran masuk berikutan jangkaan pemulihan aktiviti pemulihan ekonomi, katanya.

Untuk tahun 2020, MoF berkata lebihan akaun semasa pada tahun 2020 dijangka mengecil kepada RM48.5 bilion atau 2.4 peratus daripada PNK.

“Pengurangan ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan defisit dalam akaun perkhidmatan meskipun lebihan dalam akaun barangan meningkat dan defisit dalam akaun pendapatan lebih rendah. Akaun barangan diunjur mencatat peningkatan lebihan tinggi sebanyak RM130.9 bilion pada 2020 berikutan eksport melebihi import, katanya.

Ia berkata akaun perkhidmatan pula dijangka mencatat peningkatan defisit berjumlah RM50.3 bilion terutamanya disebabkan oleh pengurangan terimaan dalam akaun perjalanan dan pengangkutan. 

Akaun perjalanan dijangka mencatat defisit sebanyak RM10.9 bilion untuk pertama kali sejak tahun 1989 disebabkan oleh penurunan signifikan ketibaan pelancong berikutan penutupan sempadan antarabangsa bagi mengawal penularan pandemik COVID-19, kata MoF. 

Defisit akaun pengangkutan diunjur mencatat RM26.8 bilion disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah daripada bayaran caj fret, tambang penumpang syarikat penerbangan, caj lapangan terbang dan pelabuhan. 

Akaun pendapatan primer diunjur mencatat defisit sebanyak RM23.7 bilion pada tahun 2020 disebabkan oleh pembayaran lebih rendah kepada pelabur langsung asing di Malaysia berikutan prestasi sektor pembinaan dan pembuatan yang perlahan, kata Kementerian Kewangan.

MoF berkata aliran keluar akaun pendapatan sekunder terutamanya kiriman wang keluar dijangka merosot kepada RM34.6 bilion berikutan pendapatan pekerja asing yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini.

-- BERNAMA

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility