Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

BNM Semak Semula PTV, Pampasan Hanya 0.01 Peratus – Ahmad Maslan

BNM Semak Semula PTV, Pampasan Hanya 0.01 Peratus – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) – Bank Negara Malaysia (BNM) sedang menyemak semula inisiatif Baucar Perlindungan Tenang (PTV) berikutan pampasan yang diberikan sejak ia diperkenalkan pada 2021 hingga 2022 sangat sedikit.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan tidak meneruskan inisiatif itu setakat ini berikutan kajian yang dijalankan oleh BNM mendapati daripada 8.7 juta orang yang sepatutnya menerima baucar itu, hanya 490 orang yang mendapat manfaat dengan nilai pampasan 0.01 peratus daripada RM354 juta nilai insurans.

“Jadi terlalu sedikit dilindungi dengan PTV itu. Oleh itu, kita meneruskan (mySalam) Perlindungan Kesihatan Masyarakat. PTV kita tidak teruskan kerana tuntutannya hanya 0.01 peratus,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 dan memperuntukkan baucar kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) supaya mereka dapat menyertai PTV.

Ahmad berkata kerajaan masih meneruskan mySalam yang diperkenalkan sejak 2019; Skim Peduli Sihat (PeKa B40) sejak 2018 dan khairat kematian bagi penerima STR yang meninggal dunia yang warisnya akan menerima RM1,000 melalui Bank Simpanan nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

PTV telah dilaksanakan pada 2021 dan 2022 ketika negara dilanda pandemik COVID-19 bagi tujuan menyediakan perlindungan insurans dan takaful daripada sebarang risiko dalam kehidupan bagi segmen yang masih tidak dilindungi terutamanya golongan B40.

Ahmad berkata menerusi inisiatif itu, setiap penerima yang layak menerima baucar untuk membeli produk perlindungan tenang termasuk takaful keluarga, insurans hayat dan insurans am tanpa had maksimum, kadar premium dan caruman.

Katanya setakat 31 Dis tahun lepas, hampir 4.9 juta penerima dengan nilai insurans RM354 juta telah menyertai inisiatif berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata penerima STR bagi fasa ketiga pada bulan ini melibatkan jumlah penerima 8.4 juta orang dengan nilai RM2.14 bilion.

Katanya, ia meliputi 3.9 juta isi rumah dengan nilai RM1.4 bilion; 1.2 juta warga emas tiada pasangan (RM0.25 bilion) dan 3.3 juta golongan bujang (RM0.49 bilion).

 

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility