KUALA LUMPUR, 27 Jan -- Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Dana Amanah MySDG) akan disalurkan secara sistematik dan berintegrasi untuk membiayai dan saling menyokong program dan projek kerajaan yang berorientasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di seluruh negara.
Ini termasuk pembiayaan bagi projek dan penyelesaian inovatif oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi pembangunan, demikian menurut satu kenyataan bersama daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan PBB.
Pada pelancaran dana tersebut hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Yayasan MySDG yang akan mengawal selia Dana Amanah MySDG.
Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM20 juta sebagai dana permulaan bagi Dana Amanah MySDG. Peruntukan RM20 juta ini adalah sebahagian dari Rancangan Malaysia Lima Tahun yang menggariskan rangka kerja dan polisi bagi Malaysia mencapai SDG dalam jangka masa sederhana dan panjang.
"Kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan PBB yang mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam pelaksanaan inisiatif ini akan dapat melipat gandakan usaha pembangunan mampan di Malaysia,” kata kenyataan itu.
Dana Amanah itu akan ditadbir bersama oleh Kementerian Kewangan dan Pejabat PBB di Malaysia. Ia akan diselia oleh Lembaga Pemegang Amanah yang ahlinya dilantik dalam kalangan pakar industri, dermawan dan pegawai tinggi Kerajaan.
Dalam jangka masa terdekat, Yayasan MySDG akan menumpukan kepada pembiayaan program untuk membina semula secara terbaik susulan kesan pandemik COVID-19, serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.
Seterusnya, skop program dan projek di bawah dana itu akan diperluaskan untuk projek-projek berteraskan SDG yang lain.
"Objektif kesemua usaha ini akan dapat membantu usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi dan melestarikan kesejahteraan rakyat. Sebaik sahaja mekanisme sumbangan dimuktamadkan oleh Yayasan MySDG, pihak dari dalam dan luar negara boleh mula menyumbang ke dalam Dana Amanah MySDG," kata kenyataan itu.
Semua sumbangan akan mendapat pengecualian cukai sepenuhnya, tertakluk kepada had 10 peratus kepada pendapatan agregat penyumbang.
Bagi maklumat lanjut, sila layari laman web Yayasan di https://www.mof.gov.my/portal/ms/mysdg.